LIMA: Seorang lelaki berusia 20 an di Peru dilaporkan jatuh sakit selepas dijangkiti virus baharu yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Pesakit itu muncul di Hospital De La Merced Chanchamayo di tengah Peru pada Jun 2019 dengan gejalanya termasuk demam, sakit kepala, rasa sensitif terhadap cahaya, menggigil serta sakit otot dan sendi.
Tidak jelas sama ada pekerja binaan itu berjaya sembuh daripada penyakitnya, yang awalnya disifatkan sebagai malaria dan denggi.
Tetapi saintis yang menemui patogen selepas mengambil sampel darahnya, memberi amaran bahawa virus itu mungkin menular dari kawasan hutan di tengah Peru.
Ujian makmal yang turut dilakukan Penyelidik di Unit Penyelidikan Perubatan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Lima mengesan Candiru phlebovirus pada sampel darah tersebut.
Bagaimanapun, segmen virus itu menunjukkan perbezaan daripada virus Candiru yang tidak dapat dijelaskan oleh mutasi virus, menunjukkan lelaki itu dijangkiti virus baharu.
Analisis mencadangkan bahawa patogen itu terbentuk oleh virus Candiru yang menggabungkan semula dengan strain baru virus Echarate.
Justeru, pasukan saintis menggesa ketua kesihatan memantau virus di sebalik gejala seperti malaria itu supaya mereka dapat mengesan jangkitan yang baru muncul dan melindungi kesihatan awam.
Maklumat tentang kajian penyakit yang disebabkan oleh virus baharu itu diterbitkan dalam jurnal Emerging Infectious Diseases baru-baru ini.
“Phlebovirus, boleh disebarkan oleh lalat pasir, nyamuk atau kutu. Demam Rift Valley adalah penyakit paling terkenal yang boleh dicetuskan oleh phlebovirus.
“Mereka yang dijangkiti virus itu boleh mengalami demam yang mengancam nyawa, pendarahan dari mulut, mata dan telinga, serta organ dalaman,” jelas kajian itu.
Sehingga kini, hanya tiga jangkitan phlebovirus yang menyebabkan demam dikesan di Peru dan Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UK) turut menyuarakan keperluan agar pesakit dengan gejala demam dipantau sebagai tindak balas terhadap penemuan virus baharu itu.-AGENSI