GAZA CITY: Satu rakaman video tular mendakwa tembakan berlaku berhampiran ibu pejabat Kementerian Hal Ehwal Sosial Palestin di bandar Rafah, Gaza.
Rakaman video kejadian tembakan berhampiran lintasan Rafah itu diperoleh oleh CNN.
Memetik laporan CNN, rakaman itu menunjukkan beratus-ratus penduduk berada di jalanan yang mana sebahagian besarnya melarikan diri akibat serangan Israel.
Dalam video itu, ramai penduduk dilihat sedang membawa bantuan ketika bunyi tembakan kedengaran di kawasan tersebut.
Satu lagi rakaman di lokasi itu menunjukkan beberapa jalan raya disekat selain tayar terbakar berada di merata kawasan.
Pada masa ini, punca tembakan dalam video itu masih tidak dapat dipastikan.
Ketika ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Berdasarkan laporan dikeluarkan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), kira-kira 2.2 juta penduduk Gaza kini berdepan kebuluran yang teruk.