NEW YORK: Satu sesi undian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung usaha untuk meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza ditangguhkan ke hari yang lain.
Menurut diplomat, keputusan itu dibuat ketika rundingan berterusan untuk cuba mengelak Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto buat kali ketiga dalam isu konflik Israel-Hamas yang sudah berlanjutan selama dua bulan.
UNSC yang dianggotai 15 negara, pada mulanya sepatutnya mengundi resolusi dirangka oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Isnin lalu.
Bagaimanapun, sesi undian draf resolusi itu terpaksa ditangguhkan beberapa kali kerana UAE dan AS gagal mencapai kata sepakat mengenai persetujuan ayat yang memetik penamatan serangan dan cadangan untuk menubuhkan mekanisme pemantauan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ketika ditanya sama ada mereka hampir mencapai persetujuan, Duta Besar AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield memberitahu bahawa `pihaknya sedang cuba melakukannya’.
Draf resolusi itu antara lain menuntut Israel dan kumpulan Hamas membenarkan serta memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan menerusi jalan darat, laut dan udara ke seluruh Semenanjung Gaza.
Resolusi itu juga mencadangkan PBB memantau bantuan kemanusiaan yang tiba di kawasan Palestin.
Menurut diplomat, AS mahu menyelaraskan ayat yang memetik `gesaan untuk menamatkan segera permusuhan bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan secara selamat dan tanpa halangan, serta langkah segera ke arah penamatan serangan berterusan’.
Sebelum ini, AS dan Israel menentang gencatan senjata dengan mendakwa ia hanya akan memberi manfaat kepada Hamas.
Washington sebaliknya menyokong penamatan konflik untuk melindungi orang awam dan membenarkan pembebasan tebusan yang diambil oleh Hamas.
AS dilihat seolah-olah melindungi sekutunya, Israel daripada dikenakan sebarang tindakan oleh UNSC.
Sebelum ini, AS sudah dua kali menggunakan kuasa veto dalam sesi undian UNSC sejak konflik Israel-Hamas yang bermula 7 Oktober lalu.
* PANTAU BANTUAN KEMANUSIAAN
Sementara itu, beberapa diplomat memaklumkan Washington tidak berpuas hati dengan cadangan dalam draf resolusi UAE yang mendesak Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mewujudkan mekanisme pemantauan di Gaza.
Mekanisme itu bertujuan memantau secara eksklusif semua konsainan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laluan darat, laut dan udara yang disediakan oleh negara yan tidak terlibat dalam konflik Israel-Hamas. – REUTERS