KYIV: Ukraine dan Russia saling berbalas melancarkan serangan dron di wilayah masing-masing ketika kedua-dua pihak meningkatkan serangan.
Serangan dilakukan oleh Russia mengakibatkan seorang maut di Odesa manakala serangan Ukraine pula menyasarkan lapangan terbang tentera Russia.
Menurut tentera udara Ukraine memaklumkan pasukannya berjaya memusnahkan 20 dron dan peluru berpandu jelajah yang dilancarkan Russia.
Sembilan dron itu dimusnahkan di wilayah selatan Odesa, dengan serpihan yang jatuh mencetuskan kebakaran di sebuah kediaman dan meragut seorang nyawa.
Kementerian Pertahanan Russia menerusi kenyataan memaklumkan sistem pertahanan udaranya memusnahkan atau memintas sejumlah 35 dron dilancarkan oleh Ukraine di wilayah Lipetsk, Volgograd dan Rostov.
Bagaimanapun, kementerian tidak menyatakan apa yang disasarkan atau sama ada terdapat sebarang kerosakan.
Saluran media Ukrainska Pravda memetik sumber melaporkan bahawa serangan Kyiv menyasarkan lapangan terbang Morozovsk di wilayah Rostov dalam operasi bersama Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) dan Angkatan Tentera.
Gabenor wilayah Rostov, Vasily Golubev menerusi aplikasi Telegram memaklumkan pasukan pertahanan udara berjaya menangkis `serangan besar-besaran dron’ di kawasan Morozovsk dan Kamensk, selain banyak senjata udara musnah.
Bagaimanapun, beberapa penulis blog pertahanan Russia mendakwa sebuah pengebom di pangkalan udara tersebut mengalami kerosakan kecil.
Meskipun Moscow dan Kyiv menafikan menyasarkan orang awam dalam pencerobohan dilakukan Russia ke atas Ukraine pada Februari tahun lalu, kedua-dua pihak melancarkan banyak serangan ke atas infrastruktur dan aset yang penting. – REUTERS