KYIV: Pasukan pertahanan udara Ukraine dan pasukan pemusnah dron berjaya menembak jatuh 30 daripada 31 dron milik Russia di 11 wilayah di seluruh negara itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh tentera udara Ukraine dalam satu kenyataan.
Menurut beberapa saksi, satu siri letupan menggegarkan seluruh ibu kota Ukraine, Kyiv ketika pasukan pertahanan udara berusaha memusnahkan dron Russia.
“Ini adalah serangan udara keenam ke atas Kyiv sejak awal bulan.
“Hari ini kira-kira selepas tiga hari ancaman peluru berpandu balistik, tentera Russia sekali lagi melancarkan dron Shahed di ibu negara.
“Dron itu menyerang secara berkumpulan dan dari arah yang berbeza,” kata ketua pentadbiran tentera bandar itu, Serhiy Popko.
Menurut Popko, setakat ini, tiada kemalangan jiwa mahupun kerosakan besar dilaporkan di Kyiv.
Pertahanan udara Ukraine memaklumkan tentera Russia melancarkan dron Shahed buatan Iran dari tiga arah berbeza dengan menyasarkan 11 wilayah di tengah, utara dan selatan negara itu.
Tentera udara menerusi kenyataan di aplikasi Telegram memaklumkan jet pejuang, unit peluru berpandu antipesawat dan kumpulan pemusnah dron berjaya menangkis serangan dron Russia.
Sementara itu, Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko berkata, unit antipesawat bertindak ketika kumpulan dron Russia terbang merentasi pinggir bandar dan menyasarkan kawasan berhampiran pusat bandar.
Katanya, pergerakan antipesawat sangat aktif di daerah Darnytskyi di tebing timur Dnipro, selain letupan kuat juga berlaku di Podil di seberang tebing.
Beberapa saksi mendakwa kedengaran bunyi letupan kuat selepas tengah malam.
Satu siri letupan baharu dalam tempoh 45 minit seterusnya turut berlaku di kawasan berhampiran daerah tengah ibu negara Ukraine.
Amaran udara dikeluarkan di wilayah Ukraine dikeluarkan selama kira-kira lima jam. – REUTERS