LONDON: Kajian terbaharu mendapati, menyapa orang yang tidak dikenali dengan ucapan ringkas seperti selamat pagi dan berbual bersama mereka boleh meningkatkan tahap kebahagiaan seseorang individu.
Pasukan penyelidik menganalisis data daripada dua kumpulan yang ditanya tentang interaksi mereka dengan orang yang mereka tidak kenali.
Kajian tersebut dilakukan terhadap 60,000 orang, termasuk 40,000 warga Britain.
Hasil kajian yang diterbitkan dalam jurnal Social Psychological and Personality Science itu menunjukkan, mereka yang mempunyai lebih banyak perbualan dengan orang tidak dikenali menikmati kepuasan hidup yang lebih besar.
“Interaksi seketika, sapaan dan ucapan terima kasih boleh meningkatkan kesejahteraan.
“Kajian mencadangkan tindakan itu berfungsi dengan meningkatkan semangat kekitaan,” jelas kajian itu.
Ketua kajian, Dr. Esra Ascigil dari Universiti Sabanci Tukiye berkata, memiliki semangat kekitaan melibatkan perasaan seperti anda diterima dan dihargai oleh orang lain dan sering dianggap sebagai keperluan asas manusia.
“Perkara tersebut membantu membuatkan kita berasa seperti kita diterima. Kosnya sangat kecil, tetapi bernilai tinggi,” jelas Penasihat Kempen Mengakhiri Kesepian, Kate Jopling.-AGENSI