ISTANBUL: Jawatankuasa hal ehwal luar Parlimen Turkiye meluluskan permohonan Sweden untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas tertangguh selama beberapa bulan.
Langkah itu sekali gus melepasi satu lagi halangan dalam proses permohonan keahlian negara Nordik itu berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine tahun lalu.
“Protokol berhubung penyertaan Sweden ke NATO sudah diluluskan oleh jawatankuasa tersebut,” kata ahli jawatankuasa hal ehwal luar, Utku Cakirozer selepas proses pengundian itu.
Langkah itu membuka jalan kepada undian Parlimen penuh, yang mana parti pemerintah Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan memegang majoriti kerusi.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan bila Parlimen akan mengadakan proses pengundian itu.
Usaha Sweden untuk menyertai NATO terhenti ketika mendapat bantahan dari Turkiye dan Hungary.
Malah, baru-baru ini, usaha itu menjadi lebih rumit selepas Erdogan mengaitkan permohonan keahlian Sweden dengan tindakan Ankara meminta jet pejuang F-16 daripada sekutunya, Amerika Syarikat (AS).
Kongres AS bersetuju untuk menjual jet pejuang F-16 kepada Turkiye.
Sweden dan Finland mengugurkan dasar ketidakselarasan tentera dan berusaha menyertai pakatan pertahanan diketuai AS selepas Russia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine pada Februari 2022.
Permohonan keahlian kedua-dua negara itu mendapat kelulusan semua anggota NATO kecuali Turkiye dan Hungary.
Bagaimanapun, pada April lalu, Finland secara rasmi menjadi anggota ke-31 NATO dengan bendera negara itu dikibarkan di ibu pejabat pakatan ketenteraan itu.
Kini, Turkiye dan Hungary kekal sebagai satu-satunya anggota NATO yang masih belum meratifikasi permohonan Sweden kira-kira 19 bulan selepas memohon keahlian. – AFP