WASHINGTON: Mahkamah Agung Colorado memutuskan bahawa Donald Trump hilang kelayakan daripada memegang jawatan presiden di bawah Perlembagaan Amerika Syarikat (AS).
Malah, pemimpin itu juga diperintah tidak boleh bertanding dalam pengundian negeri untuk pilihan raya presiden 2024.
“Majoriti mahkamah memutuskan Trump hilang kelayakan daripada memegang jawatan Presiden di bawah Seksyen Tiga Pindaan Ke-14 Perlembagaan AS,” jelas penghakiman Mahkamah Agung Colorado.
Memetik laporan Agensi Anadolu, menurut mahkamah, oleh kerana Trump hilang kelayakan maka adalah menjadi kesalahan di bawah Kod Pilihan Raya untuk Setiausaha Negeri Colorado menyenaraikannya sebagai calon utama presiden.
Dengan keputusan itu, mahkamah membatalkan keputusan mahkamah lain.
Bagaimanapun, Mahkamah Agung AS boleh membuat keputusan muktamad.
Menurut mahkamah, keputusan itu akan kekal sementara menunggu sebarang semakan dilakukan oleh Mahkamah Agung AS dan Setiausaha Negeri Colorado, Jena Griswold yang dikehendaki menyenaraikan nama Trump pada undian presiden 2024 sehingga menerima sebarang perintah atau mandat daripada Mahkamah Agung.
Seksyen 3 Pindaan ke-14 melarang mana-mana individu yang pernah mengangkat sumpah jawatan daripada memegang jawatan awam jika mereka terlibat dalam pemberontakan terhadap AS.
Dengan keputusan penting itu, Mahkamah Agung Colorado menjadi mahkamah pertama yang menggunakan Klausa Kehilangan Kelayakan Pindaan ke-14 terhadap Trump menjelang pilihan raya presiden AS 2024.