PORTLAND: Pegawai tertinggi pilihan raya Maine memutuskan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak boleh bertanding dalam pilihan raya di negeri itu tahun depan, memetik klausa pemberontakan perlembagaan.
Setiausaha Negeri, Shenna Bellows berkata, Trump tidak layak kerana tindakannya yang membawa kepada rusuhan Capitol AS pada 2021.
Maine kini menyertai Colorado sebagai negeri kedua melarang Trump daripada bertanding merebut jawatan Presiden dalam pilihan raya yang dijadualkan pada November depan.
Keputusan itu meningkatkan tekanan kepada Mahkamah Agung untuk membuat pertimbangan berhubung kes tersebut.
Keputusan setebal 34 muka surat itu mengatakan Trump mesti disingkirkan daripada undian di Maine kerana Pindaan ke-14 Perlembagaan AS melarang individu daripada memegang jawatan jika terlibat dalam pemberontakan.
Dalam perintahnya, Bellows berkata, Trump selama beberapa bulan menggunakan naratif palsu penipuan pilihan raya untuk mengapi-apikan penyokongnya dan mengarahkan mereka merusuh di bangunan Capitol.
“Permintaan beliau supaya perusuh berada dalam keadaan aman dan menyokong penguatkuasaan undang-undang tidak boleh dijadikan alasan mewajarkan tindakannya.
“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menegakkan undang-undang pilihan raya di negeri ini dan saya berharap Mahkamah Agung akan menyelesaikan perkara ini diperingkat nasional,” katanya.-AGENSI