LAS VEGAS: Tiga orang terbunuh dan seorang lagi cedera parah dalam insiden tembakan di sebuah universiti, di sini kelmarin.
Polis memaklumkan, suspek tembakan juga dilaporkan maut.
Insiden itu berlaku di Universiti Nevada, Las Vegas yang terletak berhampiran pusat perjudian, sekali gus menjadi yang terbaharu melibatkan senjata api di Amerika Syarikat (AS).
“Berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, polis menemukan tiga mayat dan seorang lagi cedera parah.
“Suspek tembakan juga maut,” menurut Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas dalam kenyataan.
Polis memaklumkan, mereka menerima laporan mengenai insiden tembakan pada waktu malam dan mengerahkan pasukan ke lokasi kejadian.
Setibanya di kampus universiti berkenaan, polis terdengar bunyi tembakan di dua lokasi berbeza.
Seorang saksi memberitahu, dia terdengar bunyi bising dan berlari ke dalam bangunan di kampus berkenaan sebelum mengetahui ia adalah insiden tembakan.
Tiga jam selepas insiden itu, pihak universiti masih meminta pelajar mendapatkan perlindungan dan polis meneruskan siasatan. – AFP