NEW YORK: The New York Times menyaman OpenAI dan Microsoft kerana mendakwa perisian AI berkenaan menggunakan jutaan artikel akhbar itu tanpa kebenaran untuk membantu melatih teknologi kecerdasan buatan AI (Chatbot) memberikan maklumat kepada pembaca.
Akhbar tersebut merupakan organisasi media AS pertama menyaman OpenAI dan Microsoft, pencipta platform kecerdasan buatan popular ChatGPT serta Copilot berhubung isu hak cipta yang dikaitkan dengan karyanya.
Aduan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan Manhattan menuduh OpenAI dan Microsoft cuba mengambil kesempatan terhadap pelaburan besar The New York Times dalam kewartawanan dengan menggunakan bahan artikelnya sebagai cara alternatif menyampaikan maklumat kepada pembaca.
“Tiada apa-apa yang ‘transformatif’ tentang menggunakan kandungan The New York Times tanpa bayaran untuk mencipta produk yang menggantikan kami dan mencuri penonton daripadanya,” kata akhbar itu.
Akhbar berkenaan tidak menuntut jumlah ganti rugi khusus, tetapi organisasi media berusia 172 tahun itu menganggarkan kerugian berjumlah berbilion dolar dan memohon dua syarikat tersebut memusnahkan model Chatbot serta set latihan yang menggabungkan bahannya.
Tuntutan akhbar itu turut memetik beberapa contoh di mana OpenAI dan Microsoft chatbots memberikan pengguna petikan hampir serupa dengan artikelnya.
Antaranya termasuk siri artikel 2019 yang memenangi Hadiah Pulitzer mengenai pinjaman pemangsa dalam industri teksi New York City.
Tegas akhbar itu, kelakuan sedemikian mengancam kewartawanan berkualiti tinggi dengan mengurangkan keperluan pembaca untuk melawati laman sesawangnya, mengurangkan trafik dan berpotensi mengurangkan pendapatan pengiklanan serta langganan.
Jelasnya, chatbots defendan turut menyukarkan pembaca untuk membezakan fakta daripada fiksyen, termasuk apabila teknologi mereka secara palsu mengaitkan maklumat kepada akhbar itu.-REUTERS