Tentera Zionis tembak bilik hospital kanak-kanak di Gaza - Utusan Malaysia

Tentera Zionis tembak bilik hospital kanak-kanak di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tentera Israel melepaskan tembakan ke arah bilik hospital, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan 12 kanak-kanak yang ditempatkan di wad pusat perubatan itu, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.

“Tentera Zionis mengetatkan pengepungan dan menyasar hospital Kamal Adwan, menembak ke arah bilik pesakit dan ruang halaman.

“Kami bimbang kematian 12 kanak-kanak dalam penjagaan di wad kanak-kanak yang sudah kekurangan susu dan tanpa peralatan sokongan hayat,” kata jurucakap kementerian, Ashraf al-Qudra dalam satu kenyataan.

Tentera Israel tidak memberikan komen segera, manakala AFP tidak dapat mengesahkan keadaan di hospital itu secara bebas.

Pada Selasa, Qudra berkata, tentera Israel menyerbu hospital Kamal Adwan di utara wilayah Palestin dan menahan seorang lelaki.

Sehari sebelumnya, agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OCHA berkata dua ibu terbunuh apabila jabatan bersalin hospital Kamal Adwan dilaporkan terkena tembakan.

“Tentera Israel menahan pengarah hospital, Ahmed al-Kahlot dan kakitangan lain yang ‘diseksa dan mengambil makanan serta minuman’, mereka kemudian dibebaskan,” katanya.

Tentera Israel sebelum ini menyerbu kemudahan perubatan lain di Gaza, termasuk Al-Shifa, hospital terbesar di wilayah itu.

Tentera menuduh Hamas menggunakan hospital sebagai pusat arahan untuk merancang dan melancarkan serangan terhadap tentera Israel, satu tuduhan yang dinafikan oleh kumpulan pejuang itu.

Pada masa kini, hanya terdapat satu hospital di utara Gaza yang boleh menerima pesakit, menurut PBB.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya