GAZA: Briged al-Qassam memaklumkan tentera Zionis mengalami kekalahan besar sejak beberapa hari lalu ketika bertempur dengan kumpulan pejuang Hamas.
Lapor Al Jazeera, ramai tentera Israel dan banyak aset ketenteraannya musnah dalam pertempuran di kawasan kejiranan Shejaiya di Gaza City dan Jabalia di utara Gaza.
Koresponden Al Jazeera memaklumkan, sejumlah helikopter tentera Israel terpaksa berundur dan berpatah balik ke beberapa kawasan di Gaza untuk membawa anggota tentera yang cedera ke hospital di Israel.
Selain itu, beberapa kereta kebal Israel turut menjadi sasaran Hamas.
Al-Qassam memberitahu, anggota pejuangnya bertempur dengan tentera Israel di barat Jabalia, menyaksikan sejumlah tentera Zionis terbunuh, termasuk pegawai tinggi.
Pertempuran hebat itu berlaku ketika Zionis terus melancarkan serangan menyasarkan penduduk awam, menyaksikan lebih 300 mati dalam tempoh 24 jam lalu.
Koresponden Al Jazeera melaporkan, bunyi mesingan dapat didengari di kawasan Gaza City, menyaksikan pertempuran antara Hamas dengan tentera Zionis.
Al-Qassam menyatakan lebih 180 kenderaan tentera Zionis dimusnahkan sejak perang meletus 7 Oktober lalu, termasuk jentera berat.
Dalam pada itu, ketenteraan Israel mengakui hampir 500 anggotanya terbunuh dalam pertempuran dengan Hamas sejak Oktober lalu.
Jumlah itu termasuk 102 anggota tentera yang maut sejak Zionis memulakan operasi darat di Gaza.
Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth sebelum ini melaporkan, lebih 5,000 tentera Zionis cedera sejak perang berlaku.