GENEVA: Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med mendedahkan tentera Zionis Israel menahan dan mendera puluhan orang awam Palestin di utara Gaza.
Mangsa dipaksa mengelilingi dua pusat perlindungan di bandar Beit Lahia selama beberapa hari sebelum dipukul dan dibogelkan.
Laporan diterima Euro-Med Monitor mendedahkan tentera Israel menahan secara rawak penduduk yang dipindahkan di sekolah Khalifa Bin Zayed dan New Aleppo termasuk doktor, ahli akademik, wartawan dan lelaki tua.
Kedua-dua sekolah itu bekerjasama dengan Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNRWA).
Kakak wartawan Diaa Al-Kahlot memberitahu Euro-Med Monitor, anggota tentera Israel memaksa adik lelakinya meninggalkan anak yang cacat berusia tujuh tahun bernama Nada, seorang diri.
Dia kemudiannya ditahan dan seperti semua tahanan lain, dilucutkan pakaian selepas dipukul dengan teruk.
Muhammad Al-Kahlot, yang tiada kaitan dengan Diaa Al-Kahlot berkata, tentera Israel dengan sengaja membakar beberapa rumah di kawasan Beit Lahia dan menahan secara rambang penduduk.
Euro-Med Monitor juga mendokumentasikan insiden tembakan dan pembunuhan langsung yang dilakukan tentera Israel terhadap mereka yang dipindahkan di dua sekolah berkenaan.
Organisasi hak asasi manusia yang berpangkalan di Geneva menyatakan, anggota tentera Israel menyasarkan setiap orang yang cuba melarikan diri, meskipun mereka sudah mengangkat bendera putih.
Seorang pemuda, Mohammed Al-Rai berkata, dia melihat sekurang-kurangnya tujuh pemuda lain ditembak dan dibunuh oleh tentera Israel dalam insiden berasingan.
Ia terjadi kerana mereka enggan membuka pakaian dan mematuhi arahan tentera yang memalukan.
Euro-Med Monitor menggesa siasatan segera dibuka ke atas pencabulan hak asasi oleh tentera Israel terhadap orang awam dan meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memikul tanggungjawabnya untuk melindungi rakyat Palestin yang tiada penempatan dan memastikan keselamatan mereka.