TEL AVIV: Tentera Israel yang cedera dilaporkan enggan menerima lawatan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu di sebuah hospital di Tel Aviv.
Menurut Saluran 13 Israel, tentera di Hospital Sheba di Ramat Gan menolak bertemu Netanyahu bagi menyuarakan kemarahan mereka terhadap tindakannya yang masih berdegil meneruskan perang sedangkan tahu Hamas sukar ditumpaskan dan makin ramai menjadi korban termasuk golongan tentera.
Menurut tentera Israel, 464 anggotanya terbunuh dengan 132 daripada mereka maut sejak permulaan serangan darat pada akhir Oktober lalu.
Lapor Middle East Monitor, tentera Israel turut mengumumkan kematian Sarjan Simpanan Pertama, Ma’oz Benjstein yang berkhidmat dalam unit komando ketika pertempuran di utara Semenanjung Gaza.
Jurucakap tentera Briged Al-Qassam, Abu Ubaidah berkata, anggaran yang diberikan oleh tentera Israel adalah tidak benar dan jumlah korban mereka sebenarnya jauh lebih tinggi.
Dalam satu kenyataan Rabu lalu, Hamas berkata, kumpulan pejuang Briged Al-Qassam sedang menunaikan janji mereka untuk menjadikan Gaza sebagai tanah perkuburan bagi penceroboh.
Kenyataan itu dibuat selepas tentera Israel mengakui kematian sepuluh anggotanya dalam pertempuran di Shejaiya di timur Gaza.
“Pengakuan itu mengesahkan tahap kehilangan dan kegagalan pemimpin entiti dan tenteranya dalam menghadapi kekuatan penentangan dan Briged Al-Qassam.
“Kami berkata kepada Zionis bahawa kepimpinan anda yang gagal tidak menghiraukan nyawa tentera anda dan anda tidak mempunyai pilihan selain berundur dari Gaza,” kata kenyataan itu.
Pada 18 November lalu, Pengarah Tanah Perkuburan Tentera Gunung Herzl, David Oren Baruch, merumitkan misi Majlis Perang Israel untuk menyembunyikan jumlah sebenar korban apabila mendedahkan seorang tentera Israel dikebumikan setiap satu jam hingga satu setengah jam di tanah perkuburan tentera.