GAZA CITY: Tentera Israel mengakui tersilap membunuh tiga tebusan ketika dalam tahanan kumpulan pejuang Hamas di Gaza.
Sehubungan itu, jurucakap tentera Israel memaklumkan kes berkenaan kini dalam siasatan.
Menurut jurucakap, ketiga-tiga tebusan berkenaan terbunuh semasa pertempuran antara Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dengan pejuang Hamas di Gaza.
Jelasnya, tentera Israel memberi jaminan siasatan akan dilakukan secara telus.
Dilaporkan, tebusan terbunuh dikenal pasti sebagai Yotam Haim, Samar Talalka dan Alon Lulu Shamriz.
Dalam pada itu, tentera zionis menerusi kenyataan berasingan menyatakan tebusan berkenaan terbunuh semasa pertempuran sengit dengan pejuang Palestin di Gaza.
“Semasa pertempuran di Shejaiya, IDF tersilap mengenal pasti tiga tebusan Israel sebagai ancaman.
“Akibatnya, tentera melepaskan tembakan ke arah mereka, menyebabkan ketiga-tiga tebusan terbunuh,” jelas tentera sambil menyuarakan kekesalan atas insiden itu.
Dalam pada itu, jurucakap tentera, Daniel Hagari berkata, pihaknya bertanggungjawab atas segala yang berlaku.
“Kami percaya tiga warga Israel itu sama ada melarikan diri atau ditinggalkan oleh anggota pejuang yang menahan mereka. Kami masih belum mendapat maklumat tersebut,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan kematian tebusan itu sebagai tragedi tidak dapat ditanggung.
Dilaporkan, protes meletus di Tel Aviv selepas tentera Israel mengaku tersilap membunuh tiga tebusan berkenaan. – REUTERS/AFP/AGENSI