BAITULMUQADDIS: Tentera Israel membunuh tiga tebusan Israel di Gaza selepas menyangka laungan mereka meminta pertolongan sebagai muslihat kumpulan pejuang Hamas untuk melakukan serangan hendap.
Tentera Israel mengaku bertanggungjawab membunuh tiga tebusan yang diculik Hamas dalam insiden pada 15 Disember lalu.
Tiga mangsa yang terbunuh, Yotam Haim, 28; Samer Talalka, 22, dan Alon Shamriz, 26 merupakan antara 240 orang yang dijadikan tebusan oleh kumpulan Palestin.
Tentera Israel menerbitkan keputusan siasatannya kelmarin dan menyimpulkan bahawa tiada niat jahat dalam peristiwa itu dan anggotanya melakukan tindakan yang betul mengikut pemahaman terbaik mereka tentang situasi pada masa itu.
Menurut kenyataan itu, Ketua Tentera Israel, Jeneral Herzi Halevi menekankan kepentingan dalam mematuhi prosedur operasi standard.
“Dalam keadaan tiada ancaman serta-merta dan pengenalan bukan musuh yang jelas, ada keperluan untuk pemeriksaan seketika sebelum melepaskan tembakan jika diberi peluang,” katanya.
Pembunuhan tiga tebusan ketika mereka mendekati tentera Israel di kawasan Shejaiya di Gaza City mengejutkan warga Israel.
Siasatan mendapati, semasa pertempuran sengit berlaku, tiada risikan yang menunjukkan tebusan ditahan di bangunan tersebut.
Tentera berkata, rakaman menunjukkan tebusan menanggalkan baju dan seorang daripadanya mengibarkan bendera putih tetapi tiga lelaki itu hanya dikenal pasti sebagai tebusan selepas mayat mereka diperiksa.
Jeritan tebusan meminta bantuan juga disalahtafsirkan sebagai penipuan oleh kumpulan pejuang yang cuba menarik tentera ke dalam serangan hendap.
“IDF gagal dalam misinya untuk menyelamatkan tebusan ketika itu. Seluruh rantaian perintah berasa bertanggungjawab atas peristiwa sukar ini, menyesali keputusan ini dan berkongsi kesedihan keluarga tiga tebusan,” kata Halevi.
Tekanan semakin meningkat ke atas kerajaan Israel untuk menjadi perantara perjanjian membebaskan lebih 100 tebusan yang kekal di Gaza berikutan pembebasan 110 yang lain semasa gencatan senjata selama seminggu bulan lalu.
Semasa gencatan senjata, Hamas membebaskan lebih 100 tebusan wanita, kanak-kanak dan warga emas sebagai pertukaran untuk membebaskan wanita serta remaja Palestin yang ditahan di penjara Israel.-REUTERS