GAZA: Tentera Israel menggempur tengah Gaza melalui darat, laut dan udara dengan pihak berkuasa Palestin melaporkan puluhan kematian baharu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan ribuan penduduk awam yang terpaksa melarikan diri akibat pertempuran itu.
Israel juga memberi isyarat akan meningkatkan tindak balasnya terhadap serangan rentas sempadan dari negara jiran utara Lubnan, di mana sekutu Hamas, Hezbullah berpusat.
Kenyataan kementerian kesihatan Gaza berkata, serangan udara Israel membunuh 20 rakyat Palestin berhampiran Hospital Al-Amal di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza.
Di daerah Al-Maghazi di tengah Gaza, lima rakyat Palestin terbunuh dalam satu serangan udara di Gaza City sementara mayat tujuh rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan semalaman tiba di Hospital Al Shifa.
Penduduk di tengah Semenanjung Gaza berkata, pada waktu malam, serangan kereta kebal Israel semakin kuat di timur kem pelarian Al-Bureij dan Al-Maghazi.
Kementerian kesihatan Gaza berkata, tentera Israel membunuh 195 rakyat Palestin dan mencederakan 325 dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kematian yang direkodkan meningkat kepada 21,110 orang dengan 55,243 cedera dalam serangan Israel di wilayah pantai Palestin sejak 7 Oktober lalu.
Hampir kesemua 2.3 juta penduduk di kawasan itu dilaporkan dihalau dari rumah mereka berkali-kali.
Sumber keselamatan berkata, kumpulan bersenjata Hezbollah melancarkan paling banyak roket dan dron bersenjata dalam sehari kelmarin sejak siri pertempuran harian bermula.
Tentera Israel berkata, pesawat perangnya menyasarkan tapak tentera kumpulan bersenjata itu dan lokasi dan beberapa lokasi lain di Lubnan.
Semalam, WHO berkata, kakitangannya melihat puluhan ribu orang melarikan diri dari serangan hebat di Khan Yunis dan tengah Gaza dengan berjalan kaki, menaiki keldai atau kereta.
Tempat perlindungan sementara juga dilihat sedang dibina di sepanjang jalan di wilayah terkepung itu.
“WHO amat bimbang pemindahan baharu orang ini akan membebankan lagi kemudahan kesihatan di selatan yang sudah bergelut untuk memenuhi keperluan besar penduduk.
“Pergerakan penduduk secara paksa ini juga akan menyebabkan kesesakan, peningkatan risiko penyakit berjangkit dan menyukarkan lagi usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan,” kata wakil WHO di Tebing Barat dan Gaza, Rik Peeperkorn.-REUTERS