TAIPEI: Kementerian Kesihatan Taiwan menggesa warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai imuniti lemah supaya mengelak melakukan perjalanan ke China berikutan peningkatan penyakit pernafasan di negara itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), minggu lalu meminta China memberikan maklumat terperinci mengenai lonjakan penyakit berkenaan, yang menurut pegawai WHO, tidak setinggi sebelum wabak Covid-19.
Taiwan berwaspada dengan wabak penyakit di negara jirannya itu sejak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang bermula di China dan membunuh hampir 800 orang di seluruh dunia pada 2002 hingga 2003.
China mendakwa Taiwan, yang ditadbir kerajaan demokrasi sendiri, sebagai milik negara itu dan pada mulanya cuba menutup wabak berkenaan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Kabinet mingguan, Kementerian Kesihatan Taiwan memaklumkan, amaran dikeluarkan sebab peningkatan penyakit pernafasan di China.
“Orang tua, kanak-kanak kecil dan orang yang mempunyai imuniti lemah diminta jangan pergi ke China buat masa sekarang, melainkan jika perlu.
“Jika terpaksa juga mengunjungi China, orang ramai harus mendapatkan suntikan vaksin selsema dan Covid-19 sebelum ke sana,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, banyak pihak menzahirkan kebimbangan mengenai lonjakan kes penyakit pernafasan dalam kalangan kanak-kanak di China.
Kebimbangan itu disertakan dengan banyak imej menunjukkan orang ramai berpusu-pusu pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Isu tersebut mencetuskan kebimbangan selepas empat tahun kes Covid-19 pertama di kesan di Wuhan, China sebelum ia menjadi pandemik di seluruh dunia.
Pihak berkuasa kesihatan China menegaskan, kes jangkitan itu dalam kawalan dan semua pihak tidak perlu berasa bimbang.
Selain Taiwan, Indonesia juga meningkatkan waspada mengenai kluster pneumonia tersebut dengan meningkatkan kawalan di pintu masuk negara.