DAMSYIK: Penganut agama Kristian dan gereja-gereja di Syria mengehadkan sambutan Krismas bagi mempamer solidariti mereka kepada rakyat Palestin yang menderita akibat peperangan berterusan di Gaza.
Daerah pusat Azizia di utara Syria yang terkenal dengan pasar perayaan yang sibuk dan penjualan pokok Krismas dengan jalan-jalan raya di sekelilingnya sering dihiasi lampu serta perhiasan.
Tetapi tahun ini, dataran utama itu lengang dan tiada hiasan meriah sempena sambutan Krismas kelihatan.
“Di Syria kami membatalkan semua perayaan dan majlis rasmi di gereja sebagai tanda solidariti kepada mangsa pengeboman di Gaza oleh tentera Israel,” kata Biskop Aleppo Katolik Syria, Mor Dionysius Antoine Shahda.
Selain gereja Katolik, pemimpin tiga gereja utama lain di Syria turut membatalkan sambutan perayaan Krismas dan hanya mengadakan upacara keagamaan.
“Memandangkan keadaan semasa, terutamanya di Gaza, kami memohon maaf kerana tidak menerima ucapan Krismas dan Tahun Baru,” kata ketiga-tiga gereja tersebut dalam satu kenyataan bersama sambil menambah mereka mengehadkan upacara kepada doa.
Katedral Mariamite Ortodoks Yunani di Damsyik juga dilihat memasang hiasan sederhana dan pokok kecil di halamannya.
Penduduk Damsyik, Rachel Haddad, 66, berkata, dia sering membaca berita tentang kemusnahan di Gaza hingga tidak lagi terdetik untuk memasang pokok Krismas di kediamannya.
“Tahun ini sangat menyedihkan. Ia bermula dengan gempa bumi yang melanda selatan Turkiye dan Syria, membunuh sekurang-kurangnya 55,000 orang dan berakhir dengan perang di Gaza.
“Tiada peluang untuk kegembiraan,” katanya.
Pejuang Hamas mendakwa lebih 200 orang dilaporkan terbunuh dalam tempoh 24 jam serangan Israel di Gaza yang kini diperluaskan ke wilayah selatan.
Perkara itu disahkan oleh seorang pegawai di Gaza manakala Israel juga mengumumkan kematian sembilan tenteranya selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal mendesak pengisytiharan gencatan senjata.
Tentera rejim Israel dilaporkan meneruskan serangan mereka selepas 11 minggu peperangan berlangsung, malah serangan dilaporkan semakin ganas.
Tindakan kejam itu diteruskan sehari selepas Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menerima pakai resolusi untuk lebih banyak bantuan dihantar ke Semenanjung Gaza yang dikepung.-AFP