KAHERAH: Israel mengakui tenteranya mengalami kekalahan terburuk selama lebih sebulan sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu.
Tel Aviv juga memaklumkan, Israel semakin ‘dipulaukan’ secara diplomatik oleh banyak negara selepas semakin banyak penduduk awam di Semenanjung Gaza terkorban akibat serangan membuta tuli mereka.
Ketika ini, pertempuran sengit antara tentera Zionis dengan kumpulan Hamas berlangsung di utara dan selatan Gaza, sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan draf resolusi gencatan senjata di wilayah itu.
Malah, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyatakan kedegilan Zionis yang terus menyerang Gaza tanpa melibatkan kesannya menyebabkan sokongan antarabangsa semakin merosot.
Biden berkata, Israel juga boleh kehilangan sokongan Washington jika keadaan semakin teruk.
Sejak Oktober lalu, sejumlah negara turut memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai tanda tidak bersetuju dengan tindakan negara haram itu membedil Gaza.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 18,608 orang terbunuh dan 50,594 lagi cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober.
Sebahagian besar 2.3 juta penduduk Gaza juga kehilangan tempat tinggal.
Tentera Israel memberitahu, 115 askarnya terbunuh setakat ini dalam perang di Semenanjung Gaza, termasuk 10 hari sebelumnya iaitu angka yang besar dalam satu pertempuran. Sepuluh kematian direkodkan pada Selasa.
Menurut senarai rasmi tentera yang terkorban, sembilan daripadanya terbunuh pada Selasa lalu membabitkan unit yang menurut jurucakap tentera terbabit dalam pertempuran sengit di Shejaiya.
Dua daripada mereka yang terbunuh dalam pertempuran itu adalah pegawai kanan.
“Petang kelmarin, sepasukan pejuang Golani (briged) memasuki sebuah bangunan, menyaksikan mereka diserang dengan tembakan yang kuat dan bertempur dengan pejuang Hamas.
“Lebih banyak pasukan briged, dibantu oleh unit penyelamat 669 tentera udara menyerbu bangunan itu untuk menyelamatkan mereka,” kata jurucakap Daniel Hagari.
Seorang lagi pegawai tentera memaklumkan, bahawa Shejaiya, sebuah daerah di Bandar Gaza, adalah kubu kuat Hamas dan rumah kepada kompleks bangunan saling berkait yang mengandungi simpanan senjata.