JAKARTA: Panca Darmansyah, iaitu lelaki yang didakwa membunuh empat anak kandungnya dalam satu kejadian tragis di Jakarta memberitahu, dia sudah lima kali cuba bunuh diri.
Jelas lelaki berusia 40 tahun itu, dia menyesal setiap kali rancangannya untuk bunuh diri tidak berjaya.
“Saya sudah banyak kali mahu habiskan riwayat sendiri, namun sampai sekarang masih tidak mati.
“Saya menyesal kerana saya masih hidup, tapi anak-anak sudah mati, saya bunuh, saya ingin mati bersama mereka,” katanya dalam sidang polis di Ibu Pejabat Polis Metro, Jakarta Selatan.
Terdahulu, Panca memberitahu dia membunuh empat anaknya kerana rasa marah dan cemburu selepas melihat isterinya berbual dengan lelaki lain dalam telefon bimbit.
Bagi membalas dendam, dia memukul isterinya hingga dimasukkan ke hospital dan selepas itu timbul rasa mahu bunuh diri dan ragut nyawa semua anaknya.
Selepas menekup hidung anaknya seorang demi seorang hingga mati, Panca cederakan dirinya dengan harapan dia juga mati, namun gagal.
Selepas cubaan bunuh dirinya gagal, lelaki itu sempat minta tolong dengan jirannya supaya membelikan dia minuman isotonik kerana berasa lapar sebelum dia ditahan polis.
Polis menemukan mayat kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun di atas katil di rumah sewa mereka di daerah Jagakarsa di bandar Jakarta Selatan, menurut Jakarta Globe.
Penyiasat juga menemui nota yang berbunyi ‘puas Bunda (puas hati ibu), tx untuk semua’.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Jakarta Selatan, Superintendan Bintoro, berkata bapa kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan bogel di dalam tandas dengan kecederaan dilakukan sendiri dan sebilah pisau di tangannya.