Sigrid Kaag dilantik penyelaras kemanusiaan PBB di Gaza

Sigrid Kaag dilantik penyelaras kemanusiaan PBB di Gaza

SIGRID KAAG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres  melantik ahli politik Belanda dan diplomat veteran PBB, Sigrid Kaag dari Belanda sebagai penyelaras kanan kemanusiaan dan pembinaan semula PBB untuk Gaza.

Dalam catatan di laman X, Kaag berkata, beliau akan meletakkan jawatannya sebagai menteri kewangan dan timbalan perdana menteri Belanda yang disandang sejak Januari 2022 untuk mengambil peranan tersebut.

“Keamanan, keselamatan dan keadilan sentiasa menjadi motivasi saya.

“Saya sudah menerima tugasan khas ini dengan harapan dapat menyumbang kepada masa depan yang lebih baik,” kata Kaag dalam satu kenyataan.

Kaag dijangka memulakan tugas baharu itu pada 8 Januari depan.

Beliau bakal menggalas tanggungjawab memudahkan, menyelaras, memantau dan mengesahkan bantuan ke Semenanjung Gaza selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB baru-baru ini.

Lapor Xinhua, Kaag juga akan mewujudkan mekanisme PBB untuk mempercepatkan penghantaran bantuan kemanusiaan melalui negara-negara yang tidak terlibat dalam konflik.

Menurut siaran media yang dikeluarkan oleh pejabat ketua PBB, Kaag mempunyai pengalaman yang luas dalam hal ehwal politik, kemanusiaan dan pembangunan serta diplomasi.

Beliau menyandang jawatan menteri perdagangan dan kerjasama pembangunan dari Oktober 2017 hingga Mei 2021 dan menteri luar sehingga September tahun yang sama.

Kaag pernah menyandang pelbagai jawatan kanan dalam sistem PBB, termasuk berkhidmat sebagai penyelaras khas untuk Lubnan dari 2015 hingga 2017 dan sebagai penyelaras khas Misi Bersama Pertubuhan Larangan Senjata Kimia dan Misi PBB di Syria dari 2013 hingga 2015.

Pada Jumaat, Majlis Keselamatan PBB menerima pakai resolusi 2070 yang antara lain menggesa penghantaran bantuan kemanusiaan segera, selamat dan tanpa halangan terus kepada orang awam Palestin di seluruh Semenanjung Gaza.    

Resolusi itu meminta setiausaha agung PBB melantik penyelaras kanan kemanusiaan dan pembinaan semula selain menggesa penubuhan mekanisme baharu badan itu dengan segera untuk meningkatkan pengagihan bantuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya