WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengulangi amaran kepada Korea Utara bahawa sebarang serangan nuklear ke atas negaranya akan mengakibatkan `pengakhiran rejim Kim’.
Satu kenyataan bersama dikeluarkan oleh Kumpulan Perundingan Nuklear AS-Korea Selatan turut menegaskan sebarang serangan nuklear dilakukan oleh Pyongyang ke atas Korea Selatan akan `disambut dengan tindak balas tegas dan pantas’.
“AS mengesahkan komitmen tidak berbelah bahagi untuk memberi pertahanan berterusan kepada Republik Korea disokong oleh pelbagai keupayaan AS termasuk nuklear,” jelas kenyataan disiarkan White House.
April lalu, Presiden AS, Joe Biden memberi amaran tegas yang serupa dengan menyatakan sebarang serangan nuklear dilakukan Korea Utara akan membawa kepada `pengakhiran kerajaan Pyongyang’.
Kira-kira lima bulan sebelum itu, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin turut memberi amaran sebarang serangan nuklear oleh Korea Utara terhadap AS atau sekutunya bermakna `pengakhiran pemerintahan Kim’.
Tahun lalu, Korea Utara mengisytiharkan negaranya sebagai kuasa nuklear yang `tidak dapat dipulihkan’ dan berulang kali menegaskan tidak akan melepaskan program nuklear yang disifatkan rejim itu amat penting untuk kelangsungan hidup.
Bulan lalu, Pyongyang berjaya menempatkan satelit pengintip tentera pertamanya ke orbit.
Sejak itu, Pyongyang mendakwa satelit itu sudah menyediakan imej tapak tentera utama AS dan Korea Selatan. – AFP