WASHINGTON: Rang undang-undang (RUU) dana perang yang akan menyediakan berbilion dolar bantuan untuk Israel dan Ukraine disekat di Senat Amerika Syarikat (AS) oleh wakil Republikan.
Undian yang diperoleh adalah 49 menyokong kepada 51 menentang, bermakna dana AS$110.5 bilion (RM516.4 bilion) tidak memperoleh 60 undi yang diperlukan dalam kalangan 100 ahli Senat bagi membuka jalan untuk memulakan perbahasan.
Undian berdasarkan hasrat parti, dengan setiap ahli Senat Republikan tidak menyokong, termasuk Senator bebas, Bernie Sanders, yang biasanya mengundi dengan Demokrat.
Bagaimanapun, kali ini beliau menyatakan kebimbangan mengenai membiayai ‘strategi ketenteraan tidak berperikemanusiaan’ Israel terhadap Palestin.
Ketua Majoriti Senat, Chuck Schumer, dari Demokrat, juga mengundi ‘tidak’ bagi pihaknya untuk memperkenalkan usul bagi menimbang semula langkah itu.
Selepas pengundian, Schumer berkata, ia adalah ‘saat serius yang akan mempunyai kesan berpanjangan untuk abad ke-21’, yang mempertaruhkan kemerosotan demokrasi di Barat.
Menurut Republikan, perkara terpenting adalah untuk dasar imigresen yang lebih ketat dan kawalan sempadan selatan di negara sendiri iaitu sempadan AS dengan Mexico.
“Undi ini adalah apa yang diperlukan oleh pemimpin Demokrat untuk mengiktiraf bahawa Senat Republikan tegas dengan apa yang kami katakan” kata Pemimpin Republik Senat, Mitch McConnell.
Anggota Republikan dan Demokrat sudah berdebat selama berbulan-bulan dalam Kongres untuk menyelesaikan permintaan Presiden Joe Biden bagi membiayai perang Ukraine dan Israel.
Berbilion dolar sudah disalurkan kepada Ukraine dalam menghadapi perang dengan Russia, manakala Israel yang juga kepentingan AS di Indo-Pasifik, menyerang balas Hamas selepas serangan 7 Oktober, selain bagi bantuan kemanusiaan antarabangsa.
Demokrat berpandangan, bantuan untuk sekutu adalah penting untuk menyokong demokrasi global dan menangkis autokrasi.
Republikan pula berpendapat, isu pendatang haram yang berlebihan merentasi sempadan selatan dengan Mexico menjadi kebimbangan keselamatan yang sangat penting. – REUTERS