Semua rumah musnah, di mana penduduk Gaza mahu tinggal?

Semua rumah musnah, di mana penduduk Gaza mahu tinggal?

KEMUSNAHAN yang berlaku di Gaza terlalu banyak sehingga mengambil masa lama untuk dipulihkan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Selepas lanjutan gencatan senjata berjaya menghentikan sementara pengeboman di Gaza, persoalan mula timbul mengenai nasib rakyat Palestin selepas dibenarkan pulang ke kediaman mereka.

Dalam lebih 50 hari serangan berterusan, tentera Israel mengubah sebahagian besar landskap utara dengan seluruh kawasan kejiranan bertukar menjadi runtuhan.

KEDIAMAN BERTUKAR RUNTUHAN

Rumah, hospital dan sekolah yang masih berdiri sama sekali sudah tidak dapat digunakan dengan jangkaan bahawa pihak berkuasa perlu melawat dari rumah ke rumah dan setiap satu bangunan untuk menentukan tahap pembinaan semula yang diperlukan oleh penduduk Gaza.

Profesor Hubungan Antarabangsa dan rakan bersekutu Program MENA di Chatham House, Yossi Mekelberg memberitahu Arab News, soalan mengenai kepulangan rakyat Palestin kini menjadi isu yang amat ‘menyayat hati’.

“Ia adalah soalan yang baik untuk ditanya tetapi ia juga sangat meruntun hati kerana mengetahui tahap dan skala kemusnahan yang sudah berlaku.

“Keadaan ini sudah jelas sebelum perang ditamatkan dan kita masih tidak tahu sama ada Israel berhasrat untuk meneruskan serangan lebih jauh ke selatan.

“Kami tahu ramai penduduk Gaza yang melarikan diri dari rumah mereka di utara sudah kembali atau cuba kembali, untuk melihat sama ada rumah mereka masih berdiri teguh. Tetapi jelas itu tidak berlaku,” katanya.

Sepanjang letusan terbaharu keganasan dalam konflik selama lebih 75 tahun, dipercayai lebih sejuta rakyat Palestin melarikan diri dari utara Gaza, termasuk dari Gaza City, yang dianggap sebagai pusat bandar wilayah itu.

PALING DAHSYAT SEJAK PERANG DUNIA KEDUA

Tentera Israel mungkin menyifatkan kempen udara itu sebagai tindakan yang tidak dapat dielakkan tetapi pemantau konflik yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Airwars menyifatkannya sebagai pertempuran paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua.

Pengarah Airwars, Emily Tripp berkata, penilaian itu berdasarkan perbandingan dengan Pertempuran Mosul selama sembilan bulan antara 2016 dan 2017 yang menyebabkan 80 peratus bandar itu tidak lagi dapat didiami.

“Pada masa itu, Amerika Syarikat (AS) menilai Mosul sebagai medan pertempuran bandar paling sengit sejak Perang Dunia Kedua dan data kami menunjukkan tidak lebih daripada 6,000 peluru jatuh dalam sebulan.

“Jika kenyataan awal Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sebanyak 6,000 peluru digugurkan pada minggu pertama itu benar, maka sehingga jeda sementara minggu lepas, kemungkinan mereka sudah menggugurkan lebih banyak peluru daripada gabungan mana-mana kempen menentang Daesh,” katanya.

Bercakap kepada PBS, pekerja bantuan Majlis Pelarian Norway, Yousef Hammash yang melarikan diri ke selatan dari runtuhan kem pelarian Jabaliya berkata, dia tidak melihat masa depan untuk anak-anaknya.

“Saya mahu pulang ke rumah walaupun saya terpaksa tidur di atas runtuhan,” katanya.

Seorang pemandu teksi berusia 31 tahun, Mahmoud Jamal memberitahu penyiar yang sama, ketika dia melarikan diri dari Beit Hanoun di utara Gaza, dia sudah tidak dapat mengenal pasti jalan atau persimpangan yang dilaluinya kerana kemusnahan yang teruk.

Usaha untuk mengikuti perkembangan terkini dengan skala kerosakan terhalang oleh sekatan Israel ke atas akses ke Gaza, tetapi pada minggu kedua bulan November Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencadangkan pada ketika itu, hampir 45 peratus perumahan sudah dimusnahkan.

Sumber memberitahu, walaupun tahap kerosakan teruk, tidak menghairankan apabila ramai rakyat Palestin di Gaza berkira-kira untuk meninggalkan rumah mereka kerana lokasi itu kekal sebagai pilihan paling selamat.

“Mengatakan mereka harus pergi untuk keselamatan mereka boleh ditafsirkan sebagai menyokong pertikaian bahawa Israel sedang mencari jalan melakukan pembersihan etnik di Gaza,” katanya.

Menurut Pertubuhan Oxfam, penduduk yang kekal tinggal di kediaman mereka berjumlah ratusan ribu, walaupun dengan amaran berulang kali yang dikeluarkan oleh Israel.

Dengan lebih banyak persoalan wujud tentang masa depan penduduk Gaza yang ingin pulang, Mekelberg berkata, usaha segera diperlukan bagi menggariskan cara situasi sedemikian diuruskan tanpa menafikan kewajipan serta hak mereka yang terperangkap dalam konflik tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya