Sekutu AS mengelak sertai pasukan maritim Laut Merah

Sekutu AS mengelak sertai pasukan maritim Laut Merah

BOT peluru berpandu tentera laut Israel meronda di Laut Merah di luar pantai bandar pelabuhan Eliat di selatan Israel.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berharap dapat memberikan respons antarabangsa yang tegas terhadap serangan kumpulan pemberontak Houthi Yaman ke atas perkapalan Laut Merah dengan melancarkan pasukan maritim baharu.

ENGGAN TERLIBAT

Tetapi seminggu selepas pelancarannya, ramai negara sekutu dilihat enggan dikaitkan dengan pasukan itu secara terbuka, malah ada yang menolak terus untuk menyertainya.

Dua daripada sekutu Eropah yang disenaraikan sebagai penyumbang kepada Operasi Penjaga Kemakmuran iaitu Itali dan Sepanyol mengeluarkan kenyataan seolah-olah mengelak untuk terlibat dengan pasukan maritim itu.

Pentagon berkata, pasukan itu adalah gabungan pertahanan lebih daripada 20 negara untuk memastikan perdagangan bernilai berbilion dolar dapat mengalir dengan bebas melalui titik perkapalan yang penting di perairan Laut Merah di luar Yaman.

Tetapi hampir separuh daripada negara tersebut setakat ini tidak tampil untuk mengiktiraf sumbangan mereka atau membenarkan AS berbuat demikian. 

Keengganan beberapa sekutu AS untuk mengaitkan negara mereka dengan usaha itu sebahagiannya mencerminkan keretakan yang dicipta oleh konflik di Gaza, yang menyaksikan Biden mengekalkan sokongan teguh kepada Israel walaupun menerima kritikan antarabangsa.

“Kerajaan Eropah sangat bimbang sebahagian daripada pengundi berpotensi mereka akan menentang mereka.

“Orang ramai di Eropah juga semakin kritikal terhadap Israel dan khuatir ditarik masuk ke dalam konflik itu,” kata Profesor Hubungan Antarabangsa Universiti Complutense Madrid, David Hernandez.

Kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Iran dilaporkan menyerang dan merampas beberapa kapal dengan peluru berpandu serta dron sejak 19 November lalu sebagai tindak balas terhadap kempen kekejaman  Israel di Gaza.

Tentera laut AS, Britain dan Perancis masing-masing dilaporkan menembak jatuh dron atau peluru berpandu yang dilancarkan Houthi.

Sumber pentadbiran Biden berkata, AS percaya serangan Houthi yang semakin meningkat memerlukan tindak balas antarabangsa yang berasingan daripada konflik yang melanda Gaza.

Laut Merah merupakan  pintu masuk kapal yang menggunakan Terusan Suez, mengendalikan kira-kira 12 peratus perdagangan dunia dan penting untuk pergerakan barangan antara Asia dan Eropah. 

Serangan Houthi menyaksikan beberapa kapal dialihkan ke sekitar Tanjung Harapan Afrika, meningkatkan masa dan kos pelayaran dengan ketara.

Firma kontena gergasi Denmark Maersk Sabtu lalu memaklumkan akan menyambung semula operasi perkapalan di Laut Merah dan Teluk Aden.

Tetapi syarikat Hapag Lloyd dari Jerman masih percaya Laut Merah terlalu berbahaya dan akan terus menghantar kapal di sekitar Tanjung Harapan.

KHUATIR JADI SASARAN

Walaupun AS mengatakan 20 negara sudah mendaftar untuk pasukan petugas maritimnya, hanya 12 nama diumumkan baru-baru ini.

Kesatuan Eropah (EU) memberi isyarat sokongannya kepada pasukan petugas maritim dengan satu kenyataan bersama mengutuk serangan Houthi.

Walaupun Britain, Greece dan lain-lain secara terbuka menerima operasi AS, beberapa yang disebut dalam pengumuman AS dengan cepat mengatakan mereka tidak terlibat secara langsung.

Kementerian pertahanan Itali berkata, negara itu akan menghantar sebuah kapal ke Laut Merah berikutan permintaan daripada pemilik kapalnya dan bukan sebagai sebahagian daripada operasi AS.

Perancis pula memaklumkan menyokong usaha untuk mendapatkan kebebasan pelayaran di Laut Merah tetapi kapalnya akan kekal di bawah perintah kerajaan di Paris.

Sepanyol mengumumkan tidak akan menyertai Operasi Penjaga Kemakmuran dan menentang menggunakan misi anticetak rompak EU Atlanta sedia ada untuk melindungi perkapalan Laut Merah. 

Kelmarin, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata, beliau bersedia mempertimbangkan penciptaan misi berbeza untuk menangani masalah itu.

Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini mengisytiharkan tidak berminat dalam usaha itu.

Kemarahan orang ramai terhadap serangan Israel di Gaza membantu menjelaskan beberapa keengganan pemimpin politik negara-negara sekutu AS. 

Tinjauan Yougov baru-baru ini mendapati, majoriti kuat Eropah Barat terutamanya Sepanyol dan Itali berpendapat Israel harus menghentikan tindakan ketenteraan di Gaza.

Risiko negara yang mengambil bahagian berdepan kepada tindakan balas Houthi selain perselisihan pendapat mengenai Gaza turut mendorong sekutu AS untuk mengelak daripada usaha itu.

Perkara sama dilihat berlaku kepada India apabila pegawai kanan tenteranya berkata, kerajaan bimbang melibatkan diri dengan AS boleh mendedahkan negara itu kepada risiko menjadi sasaran pihak luar.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya