PARIS: Dua lelaki ditangkap di Perancis selepas didakwa menipu warga emas untuk membayar beribu-ribu euro kononnya bagi membasmi masalah pepijat yang menular di negara itu.
Polis di Strasbourg berkata, lelaki itu akan pergi ke rumah mangsa dan menjalankan perkhidmatan kawalan serangga palsu dan kemudian mengenakan bayaran berlebihan untuk produk rawatan tersebut.
Jelas polis, seramai 48 orang terpedaya dengan penipuan tersebut, kebanyakannya wanita berusia lebih 90 tahun.
Scammer berkenaan didakwa akan menelefon mangsa sebelum memberitahu terdapat serangan pepijat di kawasan kejiranan mereka.
Kumpulan penipu itu kemudian akan melawat rumah mangsa, menyamar sebagai pegawai kesihatan dan menggunakan semburan aerosol berpura-pura merawat ruang kediaman.
Sebelum pergi, mereka akan menawarkan produk yang dikatakan akan menjauhkan pepijat dari kulit manusia namun ubat sapuan itu sebenarnya adalah krim wangi kayu putih yang ringkas.
Mangsa kemudian dikenakan bayaran antara 300 hingga 2,100 euro (RM1,508 hingga RM10,560) .
Selepas menerima sembilan aduan, polis berjaya menangkap suspek ketika mereka meninggalkan rumah seorang mangsa di Strasbourg.
Perancis menyaksikan peningkatan serangan pepijat sejak beberapa bulan lalu.
Isu itu mencetuskan kebimbangan di seluruh negara, dengan pegawai kanan kerajaan berusaha untuk menanganinya.
Serangan pepijat di Paris turut mencetus kebimbangan masalah itu boleh merebak merentasi Selat ke London.