KABUL: “Kali terakhir saya beli susu untuk bayi saya kira-kira dua bulan lalu.
“Biasanya saya mengisi botol susu dengan air teh atau rendam roti dalam teh untuk disuapkan kepada bayi saya,”
Demikian luahan seorang ibu tunggal warga Afghanistan, Sohaila Niyazi yang tinggal di rumah bata lumpur di kawasan bukit, timur Kabul.
Lapor BBC, Sohaila menyara enam orang anak termasuk bayi berusia 15 bulan bernama Husna Fakeeri.
Air teh dinyatakan Sohaila merupakan minuman tradisi Afghanistan yang diperbuat daripada daun hijau dan air panas tanpa sebarang susu atau gula.
Ia tidak mengandungi sebarang khasiat untuk bayinya.
Sohaila merupakan antara 10 juta penduduk yang berhenti menerima bantuan makanan kecemasan daripada Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak setahun lalu.
Pemotongan itu dilakukan bagi menangani kekurangan pembiayaan yang besar.
Menurut Sohaila, dibawah pemerintahan Taliban, dia tidak boleh keluar bekerja dan menyara keluarganya.
“Ada beberapa malam saya dan anak-anak tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan.
“Saya memberitahu anak-anak di mana saya boleh pergi mengemis pada waktu malam? Jadi, kami semua tidur dalam kelaparan,” katanya.
Malah, kata Sohaila, ada kalanya dia terpaksa memberi bayinya ubat tidur untuk memenangkan anaknya yang kelaparan.
“Saya beri supaya dia tidak bangun dan minta susu kerana saya tiada apa-apa untuk diberikan.
“Selepas memberi anaknya ubat itu, dia tidur lama sehingga bangun keesokan harinya. Kadang-kala saya memeriksa sama ada dia masih hidup atau sudah mati,” katanya.
Sohaila berkata, suaminya adalah antara penduduk terbunuh dalam kejadian tembakan di wilayah Panjshir pada 2022, iaitu pertempuran antara pasukan Taliban dan penunjuk perasaan menentang pemerintahan Taliban.