JAKARTA: Angka kematian akibat letusan Gunung Marapi di wilayah Sumatera Barat di Indonesia meningkat kepada 23 orang dengan kesemuanya merupakan pendaki, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik kenyataan polis.
Kesemua mangsa itu adalah antara 75 orang yang mendaftar untuk mendaki Marapi apabila gunung berapi tersebut tiba-tiba meletus pada petang Ahad lalu, selain memuntahkan gas panas dan batu ke udara.
Ketua Polis Sumatera Barat, Suharyono berkata, 52 pendaki lain sudah diselamatkan dari gunung tersebut sejak beberapa hari lalu.
Beliau berkata, sepasukan 300 anggota daripada pelbagai agensi masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mereka yang mungkin mendaki gunung itu tetapi tidak mendaftar.
“Daripada 75 pendaki yang direkodkan, 52 berjaya diselamatkan termasuk yang mengalami kecederaan ringan dan serius. Sejumlah 23 disahkan meninggal dunia,” kata Suharyono.
Katanya, susulan operasi SAR masih berlangsung, tidak mustahil angka kematian meningkat dari semasa ke semasa.
Gunung Marapi adalah antara gunung berapi paling aktif di Indonesia.
Kepulauan Indonesia terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, kawasan lingkaran aktivti seismik yang mengelilingi Lautan Pasifik.
Sebelum Ahad lalu, letusan besar terakhir gunung berapi itu adalah pada 2018 dengan letusan paling dahsyat berlaku pada 1979, menyaksikan lebih 60 orang terbunuh.