SALVATIERRA: Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam satu serangan di parti pra-Krismas yang diadakan di tengah bandar Mexico.
Menurut pihak berkuasa Guanajuato, insiden itu berlaku di bandar Salvatierra, di sebuah ladang yang disewakan untuk menganjurkan perayaan.
“Setakat ini, seramai 12 orang meninggal dunia,” jelas pejabat pendakwa raya negeri itu di aplikasi X.
Jelas pihak berkuasa, kira-kira 12 lagi mangsa yang mengalami kecederaan sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Yayasan Tierra Negra memaklumkan mangsa terdiri daripada orang muda yang menyertai Posadas iaitu perhimpunan keagamaan bagi meraikan kedatangan Krismas.
Seorang saksi enggan mendedahkan identitinya menyatakan kira-kira enam orang bersenjata api dilihat memasuki tempat itu dan mula bergaul dalam kalangan 100 golongan muda yang berkumpul dalam acara itu.
“Kami menyedari mereka tidak dijemput dan ketika ditanya mereka siapa, mereka mula melepaskan tembakan secara rambang,” katanya.
Anggota Tierra Negra, Carlos Silva menerusi media sosial berkata, kebanyakan mangsa merupakan golongan muda yang sangat baik.
“Apa yang berlaku di Salvatierra sangat ngeri,” katanya. – AFP