MOSCOW: Sebuah prototaip kenderaan elektrik (EV) baharu yang dihasilkan di Russia, dinamakan sebagai kereta paling hodoh di dunia.
Prototaip dikenali sebagai Amber Yantar mengundang banyak kritikan sinis disebabkan reka bentuknya yang pelik dan tidak menarik.
Lapor Oddity Central, Amber Yantar direka oleh pengeluar kereta Avtotor yang berpangkalan di Kaliningrad, dengan kerjasama Institut Politeknik Moscow.
Prototaip EV itu didedahkan kepada umum kira-kira seminggu lalu.
Namun, ia menjadi bahan jenaka dalam kalangan warganet selepas gambar reka bentuk luaran prototaip yang kelihatan aneh tular dalam media sosial.
Baru-baru ini, Avtotor mengumumkan bahawa pihaknya merancang untuk mengeluarkan sehingga 50,000 unit model kereta Amber Yantar di kilang Kaliningrad menjelang tahun 2025.
Malah, jelas pengeluar kereta itu, semua komponen utama termasuk motor elektrik, papan kawalan dan bateri akan direka dan dihasilkan di Russia.
“Hanya sedikit butiran teknikal didedahkan setakat ini, namun apa dimaklumkan adalah harga Amber Yantar amat berpatutan dan kereta itu dilengkapi dengan kuasa bateri 25 kilowatt sejam (kWh).
“Selain itu, pemandu boleh menyewa bateri dan bukannya membeli.
“Kereta itu dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum 105 kilometer sejam (km/j) yang dianggap tidak begitu mengagumkan,” jelas laporan.
Bagaimanapun, selepas Amber Yantar didedahkan kepada umum, hanya sejumlah kecil individu menyatakan berminat dengan bahagian teknikal model EV itu.
“Reka bentuk Amber Yantar mencetuskan pelbagai meme dan jenaka dalam talian, malah ramai warganet menggelar prototaip itu sebagai kereta paling hodoh di dunia,” jelas laporan.