WASHINGTON: Semakin banyak negara dan kuasa besar menyokong penyelesaian dua negara antara Palestin dan Israel sebagai jalan terbaik bagi menyelesaikan konflik yang berlarutan lebih 75 tahun di wilayah itu.
KEAMANAN MAMPAN ASIA BARAT
Perkara sama turut ditegaskan Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov yang berpendapat keamanan mampan di Asia Barat hanya boleh dicapai selepas penubuhan penuh negara Palestin.
Bercakap pada hari Rabu di Majlis Persekutuan Dewan Parlimen Russia, Lavrov berkata, Moscow sedang melakukan segala yang boleh untuk menghentikan perang Israel ke atas Gaza.
Lavrov menegaskan Russia tidak akan bersetuju dengan perjanjian penyelesaian Asia Barat yang tidak melibatkan penubuhan Palestin.
“Krisis di rantau itu hanya boleh diselesaikan jika ‘Palestin bersatu dan merdeka’ diwujudkan mengikut resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ini bermakna Palestin mesti mempunyai sempadan yang serupa dengan tahun 1967 dan wujud bersama Israel dalam keamanan, keselamatan dan kejiranan yang baik,” katanya.
Bagaimanapun, diplomat itu mengakui prospek itu masih sangat jauh, sambil berhujah bahawa Israel dan Barat menentang penyelesaian yang munasabah.
Menurut Lavrov, AS pada masa ini sedang memikirkan skim untuk menyelesaikan isu Palestin dengan sekadar mewujudkan protektorat, negara yang berada di bawah naungan kuasa besar lain.
“Ini sama ada di bawah kepimpinan negara Arab yang tidak memerlukannya atau di bawah naungan PBB yang jelas keberatan untuk bertindak sementara keadaan di lapangan masih tidak jelas dan Israel berkeras untuk memusnahkan Hamas.
“Washington sama ada bersendirian atau dengan sekutunya tidak boleh secara rahsia menyatukan konsep negara Palestin yang mampan dan berdaya maju.
“Walaupun mereka datang dengan sesuatu, ia tidak akan bertahan lama dan ia tidak akan membawa keamanan dan kemakmuran sama ada kepada Palestin atau pun Israel,” tambahnya.
JALAN KELUAR UTAMA
Dalam pada itu, Presiden China, Xi Jinping berkata, penyelesaian dua negara adalah jalan keluar paling asas bagi menamatkan kitaran konflik antara Israel dan Palestin.
Kenyataan Jinping yang dibuat semasa sidang kemuncak BRICS dalam talian mengenai perang Israel-Gaza bulan lalu.
Beliau mengulangi pendirian China yang sudah lama dipegang bahawa Palestin harus menjadi sebuah negara merdeka dan rakyatnya harus menikmati hak kebangsaan, kehidupan serta bebas kembali ke tanah air mereka tanpa rasa takut.
Ketika perang yang sudah meragut nyawa lebih 18,400 nyawa itu berlarutan hingga memasuki bulan ketiga, lebih ramai pemimpin Barat menyuarakan sokongan untuk penyelesaian dua negara termasuk Presiden AS, Joe Biden, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak.
“Saya menegaskannya dengan jelas kepada Israel, satu-satunya jawapan muktamad di sini ialah penyelesaian dua negara,” kata Biden semasa sidang akhbar selepas bertemu Jinping di San Francisco pada November lau.
Pemerhati diplomatik berkata, sokongan baharu untuk penyelesaian dua negara menjadikan percubaan untuk mengekalkan status quo dalam konflik Israel-Palestin semakin merudum.
Tetapi masih belum jelas sama ada Beijing yang merupakan broker kuasa yang semakin meningkat di Asia Barat dan penyokong lama penyelesaian dua negara boleh memainkan peranan penting dalam proses damai.
Felo Kanan Institut Asia Barat yang berpangkalan di Washington, John Calabrese berkata, penyelesaian dua negara nampaknya menjadi satu-satunya pilihan yang ada untuk Israel dan Palestin.
SOKONGAN PA MERUDUM
Tinjauan terbaharu yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Dasar dan Tinjauan Palestin (PSR) menunjukkan sokongan terhadap Hamas meningkat lebih tiga kali ganda di Tebing Barat yang diduduki berbanding tiga bulan lalu.
Di Semenanjung Gaza, sokongan terhadap Gerakan Penentangan Palestin Hamas juga meningkat walaupun perang dan keadaan sukar yang dialami penduduk di kawasan yang terkepung itu.
Sokongan terhadap Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas dan parti Fatah pimpinannya pula dilaporkan menurun dengan ketara.
“Begitu juga dengan kepercayaan kepada PA secara keseluruhan, kerana permintaan untuk pembubarannya meningkat kepada hampir 60 peratus.
“Peratusan itu merupakan yang tertinggi pernah direkodkan dalam tinjauan PSR.
“Angka yang paling mengejutkan, bagaimanapun adalah yang berkaitan dengan Mahmoud. Permintaan untuk peletakan jawatannya meningkat kepada sekitar 90 peratus, malah lebih tinggi di Tebing Barat,” menurut tinjauan pendapat itu.