Rundingan di Eropah cetus harapan gencatan senjata di Gaza 

Rundingan di Eropah cetus harapan gencatan senjata di Gaza 

KANAK-KANAK Palestin berdiri di hadapan timbunan serpihan bangunan yang musnah di Rafah di selatan Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Harapan tinggi agar Israel dan Hamas menuju ke arah satu lagi perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan semakin meningkat di Gaza susulan rundingan di Eropah dan lawatan ke Mesir oleh ketua kumpulan pejuang Palestin.

Ketika usaha ke arah gencatan senjata hangat diperkatakan, konflik di antara Hamas dan Israel terus berlanjutan dengan angka korban semasa di wilayah Palestin itu sudah mencecah lebih 20,000 orang.

HARAPAN GENCATAN SENJATA

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, gencatan senjata di Gaza tidak akan berlaku sehingga pejuang Hamas dimusnahkan, namun Washington menyatakan harapan rundingan itu berpotensi memberi hasil positif.

“Ini adalah perbincangan dan rundingan yang sangat serius dan kami berharap ia dapat membawa kita ke arah yang lebih baik,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Kirby.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken turut berharap gencatan senjata dapat direalisasikan segera.

“Kami terbabit secara aktif dalam melihat sama ada perang ini boleh dihentikan dan tebusan dibebaskan,” katanya.

Komen itu dibuat selepas Netanyahu yang berdepan tekanan daripada Washington dan sekutu lain susulan peningkatan kes kematian membabitkan orang awam di Palestin.

Netanyahu berkata, pertempuran tidak akan berhenti sehingga semua objektif tercapai  iaitu penyingkiran Hamas, pembebasan tebusannya dan penamatan ancaman dari Gaza.

Kelmarin, beliau memberitahu ahli keluarga sebahagian baki 129 tawanan yang ditahan di Gaza, pihaknya menghantar ketua agensi perisikan Mossad ke Eropah dua kali untuk mempromosikan proses membebaskan tebusan terbabit.

Netanyahu menghadapi bantahan daripada keluarga tebusan yang mencari perjanjian segera untuk membebaskan tawanan.

PERTEMUAN POSITIF

Pengarah Mossad, David Barnea dilaporkan mengadakan pertemuan positif di Warsaw dengan Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), Bill Burns dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani minggu ini.

“Rundingan berterusan dengan tujuan mencapai persetujuan mengenai pembebasan tebusan yang tinggal di Gaza sebagai pertukaran untuk gencatan senjata dan potensi pembebasan rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel,” kata sumber.

Qatar yang disokong oleh Mesir dan AS bulan lalu membantu menyelaraskan gencatan senjata pertama selama seminggu di mana 80 tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran untuk 240 tahanan Palestin.

Ketua Hamas yang berpangkalan di Qatar, Ismail Haniyeh tiba di Mesir kelmarin untuk berbincang dengan Ketua Perisikan Mesir, Abbas Kamel.

Seorang pegawai Hamas memberitahu, gencatan senjata penuh dan pengunduran tentera pendudukan Israel dari Semenanjung Gaza adalah prasyarat untuk sebarang rundingan serius mengenai pertukaran tebusan dengan tahanan.

Sumber yang rapat dengan Hamas sebelum ini berkata, rundingan di Mesir akan memberi tumpuan kepada cadangan termasuk gencatan senjata selama seminggu yang akan menyaksikan pembebasan 40 tebusan Israel.

Sebelum meninggalkan Qatar, Ismail dilaporkan bertemu Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian tetapi tiada butiran dikeluarkan mengenainya.

Tentera Israel melaporkan pertempuran jarak dekat dan lebih daripada 300 serangan sepanjang beberapa hari lalu, manakala angka kematian dalam kalangan tenteranya sendiri meningkat kepada 134 di dalam Gaza.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka mengundi mengenai resolusi tertangguh menggesa perang dihentikan selepas ahli-ahli berselisih tentang perkataan yang digunakan.

Versi terbaharu teks yang dilihat oleh wartawan menggesa ‘penggantungan segera permusuhan’.

Agensi tentera Israel (COGAT) berkata, pihaknya mula memasang saluran paip dari Mesir untuk menghantar air minuman dari loji penyahgaraman mudah alih dalam projek yang diketuai oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketika melawat Cyprus kelmarin, Menteri Luar Israel, Eli Cohen menyatakan sokongan terhadap rancangan untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dari pulau Mediterranean.

“Kami berhasrat untuk mewujudkan landasan pantas untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui koridor ini,” katanya kepada pemberita.

Perang di Gaza mencetuskan kebimbangan peningkatan seranta, dengan pertukaran tembakan ke atas sempadan Lubnan dan peluru berpandu dari pemberontak Yaman yang disokong Iran mengganggu perkapalan Laut Merah.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya