PRAGUE: Republik Czech berkabung bagi memperingati 14 mangsa yang terbunuh dalam serangan bersenjata di Fakulti Seni Universiti Charles di Prague pada Khamis Khamis lalu.
Lapor Agensi Anadolu (AA), bendera dikibar separuh tiang dan orang ramai bertafakur selama seminit bagi mengenang kesemua mangsa yang terkorban dalam serangan tersebut.
Lapangan terbang antarabangsa Prague juga menghentikan operasi selama seminit.
“Kehidupan setiap orang dalam keunikannya menjadi sebahagian daripada kehidupan orang lain dan kehilangan mereka tiada pegganti,” kata Rektor Universiti Charles, Milena Kralickova pada majlis itu.
Media tempatan melaporkan beberapa kedai menjual barangan Krismas di seluruh negara turut ditutup atau mengehadkan waktu operasi berikutan insiden itu.
Mereka yang terbunuh termasuk ketua Institut Muzik Universiti Charles, Lenka Hlavkova; Penterjemah dan Pakar Sastera Finland, Jan Dlask dan seorang pelajar, Lucie Spindlerova.
Khamis lalu, sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh termasuk penyerang manakala 25 lagi cedera dalam insiden tragis itu.
Ketua Polis, Martin Vondrasek berkata, lelaki bersenjata berusia 24 tahun itu adalah pelajar di Fakulti Sastera di Universiti Charles dan Kementerian Dalam Negeri menolak kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan mana-mana organisasi pengganas.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Vit Rakusan, sejak insiden tembakan Khamis lalu, polis menahan empat indivdu yang mengancam serangan serupa atau menyatakan sokongan terhadap pembunuhan itu.
Insiden di pusat bersejarah di Prague itu disifatkan tragedi terburuk sejak Republik Czech muncul sebagai sebuah negara merdeka pada 1993.-AFP/AGENSI