GAZA: Kira-kira 360,000 kes penyakit dikesan di tempat perlindungan di Gaza yang mempunyai 1.9 juta orang yang dipindahkan akibat serangan berterusan tentera Israel.
Perkara itu berdasarkan laporan situasi terbaharu oleh Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA).
Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Wilayah Palestin yang diduduki, Lynn Hastings memaklumkan, Gaza kini menghadapi bencana kesihatan awam.
“Kita semua tahu bahawa sistem penjagaan kesihatan sedang atau sudah runtuh dengan kira-kira 360,000 penyakit dikesan di tempat perlindungan ini,” katanya.
Beliau berkata, tentera Israel yang melakukan pencerobohan secara besar-besaran perlu bertanggungjawab untuk melindungi penduduk awam Palestin.
“Ini bermakna mereka perlu menyediakan keperluan asas, memastikan terdapat akses kemanusiaan tanpa halangan kepada mereka yang memerlukan.
“Apa yang berlaku di lapangan tidak akan membawa keamanan dan keselamatan sama ada kepada rakyat Palestin atau Israel selama bertahun-tahun dan generasi akan datang,” katanya sambil menambah gencatan senjata merupakan jalan terbaik.
Kementerian Kesihatan Gaza turut memaklumkan mereka kehabisan vaksinasi kanak-kanak.
Perkembangan itu disifatkan boleh membawa kepada kesan buruk kepada kesihatan kanak-kanak, sekali gus meningkatkan penularan penyakit.
Sebelum ini, di selatan Rafah, pegawai kesihatan memberitahu, 22 orang termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan rumah kediaman.
Pekerja kecemasan awam sedang mencari lebih ramai mangsa di bawah runtuhan.
Kebuluran semakin teruk, dengan Program Makanan Dunia PBB memaklumkan separuh daripada penduduk Gaza kelaparan.
OCHA menyatakan pengagihan bantuan terhad berlaku di seluruh Semenanjung Gaza, namun masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk di wilayah itu.