COLOMBO: Rakyat Sri Lanka yang sering mengadakan perhimpunan solidariti kepada penduduk Gaza mengecam keputusan kerajaan negara itu untuk menghantar pekerja ke Israel.
Sejak permulaan serangan maut ke atas wilayah Palestin, Israel membatalkan permit kerja berpuluh-puluh ribu buruh Palestin dan berusaha untuk menggantikan mereka dengan pekerja dari Asia Selatan.
Pada November, kedutaan Sri Lanka mencapai persetujuan dengan kerajaan Israel untuk membenarkan pengambilan segera 10,000 warga Sri Lanka di ladang dan tapak pembinaan.
Kumpulan pekerja pertama berlepas ke Israel bulan ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang isu etika dan keselamatan.
“Kita tidak seharusnya mengeksploitasi keadaan ini. Kami benar-benar menentang cara sebegini demi membawa pelaburan masuk ke dalam negara ,” kata Presiden World Fellowship of Buddhists Sri Lanka, Sudath Dewapura kepada Arab News.
Dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan dana selepas melalui krisis ekonomi tahun lalu, Sri Lanka berusaha mendapatkan pekerjaan untuk warganya di luar negara, di mana mereka boleh memperoleh lebih banyak pendapatan.
Tetapi keputusan untuk menghantar rakyatnya ke zon konflik dan negara yang mengenakan apartheid mencetuskan tentangan dan kritikan.
Aktivis hak asasi terkemuka yang mengetuai protes solidariti Gaza, Shreen Abdul Saroor pula berpendapat, menghantar pekerja ke Israel seakan membantu Tel Aviv melakukan pembersihan etnik yang berusia berabad-abad lamanya.
“Semakin ramai pekerja yang dihantar untuk menggantikan pekerja Palestin bermakna kita seakan menerima dan menyokong tindakan kejam penghapusan etnik dilakukan Zionis terhadap negara Palestin,” kata Shreen.
Sementara itu, Editor The Sunday Times Weekly, Ameen Izzadeen yang menyertai protes di Colombo berkata, Sri Lanka menentang pemerintahan apartheid di Afrika Selatan malah beberapa pemain kriketnya yang melawat negara itu pada 1980-an dilarang bermain permainan antarabangsa.
“Itulah komitmen yang Sri Lanka miliki, jadi komitmen yang sama adalah wajar berkaitan dengan Israel dan amalan buruknya di wilayah Palestin yang diduduki,” jelasnya.
Tegas Ameen, ketika Sri Lanka mengetuai Jawatankuasa Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat amalan Israel yang menjejaskan hak asasi manusia rakyat Palestin dan orang Arab lain di wilayah yang diduduki, kerajaan sudah tahu apa yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat.
“Di sebalik pengetahuan ini dan di sebalik kesedaran ini, jika kerajaan menghantar tenaga buruh, ia sama sekali tidak bermoral.
“Saya tahu kerajaan Sri Lanka terdesak untuk mendapatkan dolar, tetapi ada masanya kita perlu melakukan sedikit pengorbanan. Kerajaan harus menghentikannya dengan segera dan itulah yang kami gesa,” tegasnya.