WASHINGTON: Dua keluarga warga Amerika Syarikat (AS) berketurunan Palestin bertindak menyaman pentadbiran Presiden Joe Biden berhubung isu ahli keluarga mereka yang masih terkandas di Gaza.
Keluarga berkenaan mendakwa kerajaan tidak melakukan banyak perkara untuk membawa pulang ahli keluarga mereka yang terkandas di Gaza, sepertimana dilakukan untuk dua warga Israel.
Selepas konflik Israel-Hamas tercetus pada 7 Oktober lalu, kerajaan AS dilaporkan mengatur penerbangan khas dari Tel Aviv ke Eropah untuk membawa pulang rakyat Amerika setelah banyak syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ke Israel.
Jabatan Negara AS memaklumkan sudah membantu kira-kira 1,300 rakyat AS berketurunan Palestin meninggalkan Gaza dan menyelamatkan diri daripada pengeboman rejim zionis, sebahagiannya dengan menyelaraskan jalan keluar mereka ke negara jiran dengan kerjasama pihak berkuasa Mesir dan Israel.
Namun, dua keluarga itu mendakwa kerajaan gagal mengatur penerbangan khusus atau membantu membawa keluar kira-kira 900 warga AS, penduduk dan ahli keluarga yang masih terkandas di Gaza.
Jelas keluarga itu, ia melanggar hak Perlembagaan negara.
“Banyak lagi yang boleh dilakukan oleh kerajaan AS dan mereka memilih untuk tidak berbuat demikian bagi rakyat Palestin,” kata Yasmeen Elagha yang mana keluarganya terkandas di Gaza.
Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Indianapolis mendakwa kerajaan Persekutuan gagal melindungi warga AS di kawasan aktif zon perang dan menafikan perlindungan sama rata kepada rakyat AS berketurunan Palestin sepertimana tertakluk di bawah Perlembagaan AS.
Saman itu bertujuan memaksa kerajaan memulakan usaha pemindahan dan menjamin keselamatan rakyatnya `secara sama rata dengan individu bukan pejuang yang lain di zon perang’.
Dua daripada plaintif dalam saman itu merupakan sepupu Yasmeen bernama Borak Alagha dan Hashem Alagha, warga AS yang sedang belajar di enklaf pantai Palestin.
Menurut Yasmeen, tiga warga Amerika yang disebut dalam tuntutan mahkamah itu masih belum dibenarkan meninggalkan Gaza.
Sementara itu, peguam dari Liga Hak Sivil Amerika Arab yang mewakili plantif, Maria Kari berkata, pihaknya sudah memfailkan kira-kira 40 saman bagi pihak dua kerakyatan Palestin pada bulan pertama konflik.
“Kami hanya meminta pentadbiran Biden melakukan sesuatu yang pernah dilakukan sebelum ini untuk sekumpulan rakyat terjejas dalam konflik yang sama,” katanya. – REUTERS