Pyongyang beri amaran lancar `serangan nuklear'

Pyongyang beri amaran lancar `serangan nuklear’

KIM Jong-un memeriksa persiapan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Hwasongpho-18 di lokasi tidak didedahkan di Korea Utara. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Pyongyang menegaskan tidak akan teragak-agak untuk melancarkan serangan nuklear sekiranya musuh mencetuskan provokasi dengan menggunakan senjata sama.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un membuat kenyataan itu ketika bertemu dengan pasukan tentera di bawah biro peluru berpandu tentera, selain mengucapkan tahniah berhubung latihan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Pyongyang baru-baru ini.

Lapor agensi berita KCNA, menurut beliau, latihan ketenteraan itu menunjukkan kesetiaan dan pendirian teguh angkatan tentera Korea Utara.

Malah, katanya, ia juga merupakan petunjuk jelas mengenai mod serangan balas dan evolusi strategi serta doktrin nuklear Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) untuk tidak teragak-agak melancarkan serangan nuklear apabila musuh memprovokasinya dengan senjata sama.

Baru-baru ini, Pyongyang memaklumkan pihaknya sudah menguji ICBM terbaharu untuk mengukur tahap kesediaan pasukan perang terhadap permusuhan Amerika Syarikat (AS) yang semakin meningkat.

Kelmarin, diplomat tertinggi AS, Korea Selatan dan Jepun dalam kenyataan bersama mengecam pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara dan menggesa Pyongyang terlibat dalam `dialog substantif tanpa prasyarat’.

Mengulas lanjut, Jong-un menegaskan pelancaran peluru berpandu itu  menunjukkan mobiliti tinggi tentera dan keupayaan serangan pantas, selain menggesa usaha untuk mengukuhkan lagi kecekapan tempurnya.

Sementara itu, adik perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Yo-jong mengecam tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) kerana mengadakan mesyuarat berhubung pelancaran ICBM.

Tegas beliau, pelancaran itu merupakan hak negara untuk mempertahankan diri.

“UNSC harus meletakkan tanggungjawab berat ke atas tingkah laku dan tindakan tidak bertanggungjawab AS dan Korea Selatan yang memburukkan lagi ketegangan di Semenanjung Korea melalui pelbagai provokasi ketenteraan sepanjang tahun,” katanya. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya