Putin tandatangan dekri tingkatkan bilangan tentera Russia

Putin tandatangan dekri tingkatkan bilangan tentera Russia

VLADIMIR PUTIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin menandatangani dekri untuk meningkatkan lagi bilangan tentera negaranya sebanyak 15 peratus dalam langkah terbaharu yang dikaitkan dengan serangan berterusan oleh Ukraine.

Menerusi dekri tersebut, kira-kira 170,000 akan ditambah kepada bilangan kakitangan yang berkhidmat secara berperingkat, menjadikan jumlah keseluruhan tentera Russia mencecah 1.3 juta orang.

Kementerian pertahanan berkata, langkah itu adalah tindak balas kepada peningkatan ancaman termasuk aktiviti agresif daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

“Peningkatan dalam kekuatan tentera sepenuh masa adalah disebabkan ancaman yang semakin meningkat terhadap negara kita yang dikaitkan dengan operasi ketenteraan khas dan perkembangan angkatan bersenjata bersama blok NATO berhampiran sempadan Russia,” jelas kementerian itu.

Langkah itu dibuat ketika Russia dan Ukraine masing-masing berusaha untuk mencapai perkembangan positif dan meningkatkan keupayaan barisan hadapan mereka yang dilihat hampir tidak bergerak sejak beberapa bulan lalu.

Russia dilaporkan kehilangan ratusan ribu tentera dalam pertempuran di Ukraine selama hampir dua tahun peperangan, walaupun tidak mengeluarkan sebarang maklumat berhubung perkara itu.

Kenyataan kementerian pertahanan Russia yang disiarkan di laman web Kremlin berkata, jumlah itu akan ditingkatkan secara berperingkat melalui pemacu pengambilan yang menjanjikan ganjaran kewangan yang menarik, terutamanya di kawasan terpencil.

Usaha itu bukan lagi melibatkan mobilisasi atau perubahan kepada kerahan tenaga yang dilihat menyebabkan penghijrahan golongan lelaki keluar dari Russia tahun lalu.

“Peningkatan bilangan anggota Angkatan Tentera Persekutuan Russia sedang dilaksanakan secara berperingkat, berdasarkan rakyat yang menyatakan keinginan untuk menjalani perkhidmatan ketenteraan secara kontrak,” tambahnya.

NATO meningkatkan keahliannya dengan menerima penyertaan Finland yang mempunyai sempadan luas dengan Russia sementara Sweden juga sudah memohon untuk menyertai blok itu.

NATO menegaskan Ukraine hanya akan dibenarkan menyertai blok tersebut apabila syarat dipenuhi namun tidak memberikan tempoh masa dan Kyiv diketahui tidak boleh menjadi ahli semasa ia masih berperang dengan Russia.

Khamis lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menggesa pertahanan yang lebih kukuh di sepanjang barisan hadapan dengan Russia ketika suhu di rantau itu jatuh di bawah paras beku.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya