GAZA CITY: Berpuluh-puluh rakyat Palestin terbunuh di Gaza dalam satu serangan udara dilakukan oleh tentera Israel, lapor media Palestin.
Kejadian itu berlaku selepas Amerika Syarikat (AS) menggesa Israel untuk mengurangkan operasi ketenteraannya dan hanya menyasarkan pemimpin Hamas.
Agensi berita rasmi WAFA melaporkan sekurang-kurangnya 14 orang maut akibat serangan melanda dua buah rumah di Jalan Gaza Lama di Jabalia
“Manakala berpuluh-puluh lagi terbunuh dalam serangan melanda sebuah rumah lain di Jabalia,” jelas laporan WAFA.
Agensi Media Palestin melaporkan sejumlah besar orang awam terperangkap di bawah runtuhan akibat serangan tersebut.
Sementara itu, tentera Israel memaklumkan pesawatnya menyasarkan sebuah bangunan di Jabalia selepas pasukan tenteranya diserang dan beberapa anggota kumpulan Hamas dikesan berada di atas bumbung.
Tidak dapat dipastikan sama ada bangunan itu merupakan salah satu daripada yang dibedil sepertimana dilaporkan WAFA.
Tambah rejim zionis, pasukan tenteranya menyerang anggota Hamas yang bersembunyi di dua buah sekolah di Bandar Gaza dan menyerbu pangsapuri di Khan Younis.
Tentera Israel mendakwa menemukan kemudahan bawah tanah yang digunakan oleh Hamas. – REUTERS