DENVER: Pihak berkuasa Colorado menyiasat kemungkinan ancaman terhadap hakim Mahkamah Agung seminggu selepas keputusan menghalang bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump daripada menyertai pilihan raya tahun depan dikeluarkan.
Jabatan Polis Denver berkata, anggotaya mengadakan rondaan tambahan di sekitar kediaman hakim bandar itu dengan bantuan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Mahkamah Agung Colorado pada 19 Disember lalu memutuskan Trump hilang kelayakan untuk bertanding di bawah klausa dalam Pindaan Ke-14 Perlembagaan AS kerana terlibat dalam pemberontakan.
Trump dan pasukan kempennya mengkritik keputusan empat berbalas tiga itu, menyifatkannya sangat tidak tepat dan berikrar untuk membuat rayuan di Mahkamah Agung AS.
Pakar strategis Republikan turut mencadangkan perkara sama, sekali gus mencetus tindak balas dalam kalangan konservatif politik dengan mengukuhkan naratif bahawa Trump adalah mangsa proses undang-undang partisan.
NBC News dan saluran media lain melaporkan kemunculan retorik ganas di forum dalam talian sayap kanan daripada penyokong Trump yang ditujukan kepada empat hakim Colorado yang memihak kepadanya.
Muat naik yang mencetus persoalan termasuk mesej menyeru supaya maklumat peribadi hakim didedahkan secara terbuka.
Menjawab pertanyaan mengenai siasatan berhubung perkara itu, jurucakap FBI Denver dalam satu kenyataan berkata, agensi tersebut menyedari situasi berkenaan dan sedang bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang tempatan bagi menanganinya.
“Kami akan meneruskan siasatan terhadap sebarang ancaman atau penggunaan keganasan yang dilakukan oleh individu menggunakan pandangan ekstremis untuk mewajarkan tindakan mereka tanpa mengira motivasi,” tegasnya.
Trump menjadi calon pertama dalam sejarah AS yang dianggap tidak layak ke White House di bawah peruntukan Pindaan Ke-14 yang melarang pegawai terlibat dalam pemberontakan terhadap kerajaan AS daripada memegang sebarang jawatan.
Mahkamah Tinggi Colorado memutuskan klausa pemberontakan terpakai kepada Trump kerana peranan dimainkannya dalam mencetuskan serangan pada 6 Jan 2021 ke atas Capitol AS yang cuba menghalang Kongres daripada mengesahkan kemenangan Presiden, Joe Biden.
Mahkamah Colorado berkata, pihaknya akan menangguhkan kesan kepada keputusannya sehingga 4 Jan 2024 untuk memberi masa kepada sebarang rayuan.-REUTERS