Pesawat bergerak sendiri akibat angin kencang di Argentina

Pesawat bergerak sendiri akibat angin kencang di Argentina

PESAWAT Boeing 737-700 Aerolineas Argentinas `diterbangkan' angin kencang lalu merempuh tangga digunakan penumpang untuk menaiki kapal terbang. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Sebuah pesawat penumpang bergerak sendiri akibat angin kencang selaju 160.9 kilometer sejam (km/j) sehingga merempuh tangga di lapangan terbang di Argentina.

Lapor Daily Mail, angin kencang melanda lapangan terbang Aeroparque Jorge Newbery di Buenos Aires pada Ahad lalu ketika ribut buruk membadai wilayah berkenaan.

Ketika kejadian, pesawat Boeing 737-700 Aerolineas Argentinas bergerak beberapa meter sehingga merempuh tangga yang digunakan penumpang untuk menaiki kapal terbang di landasan itu.

Ia menyebabkan tangga jatuh ke tanah apabila pesawat itu berpusing ke sisinya.

“Sebuah lagi tangga kemudiannya dibawa ke arah kenderaan yang digunakan oleh pekerja landasan,” jelas laporan.

Rakaman tular di media sosial menunjukkan bahagian sayap pesawat yang melanggar sebuah bangunan di landasan itu.

Pesawat berusia 17 tahun yang didaftarkan sebagai LV-CAD dilaporkan mengalami kerosakan.

Malah, penerbangan yang dijadualkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gabenor Mendoza Francisco Gabrielli pada pagi Ahad dibatalkan ketika operasi pesawat itu digantung untuk dibaik pulih.

Sementara itu, Aerolineas Argentinas menerusi kenyataan memaklumkan kira-kira 100 penerbangan terpaksa dibatalkan setakat ini disebabkan ribut kuat yang menjejaskan operasi di Aeroparque.

Ribut buruk melanda Argentina pada hujung minggu lalu sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 16 orang maut di negara itu dan Uruguay.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya