Perang di Gaza sekat pertumbuhan ekonomi Palestin

Perang di Gaza sekat pertumbuhan ekonomi Palestin

PENDUDUK Palestin membeli barang keperluan di kawasan pasar Al-Zawiya yang daif di Gaza City.-AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bank Dunia melaporkan, perang Israel-Hamas di Gaza memberi impak yang amat besar kepada ekonomi Palestin dengan menjangkakan penguncupan mendadak yang bakal berpanjangan sehingga beberapa tahun akan datang.

Dalam analisis terbaharu, Bank Dunia menganggarkan setakat pertengahan November, sekitar 60 peratus infrastruktur maklumat, komunikasi, kesihatan dan pendidikan di Palestin musnah dengan lebih 70 peratus kemudahan perdagangan lumpuh sepenuhnya.

Hampir separuh daripada semua jalan utama dan laluan alternatif tidak lagi dapat digunakan sementara lebih daripada setengah juta orang hidup tanpa rumah akibat konflik itu.

“Kehilangan nyawa, dan tahap kerosakan kepada aset tetap dan pengurangan aliran pendapatan merentasi wilayah Palestin semakin teruk dan seakan tiada tandingannya,” kata Bank Dunia dalam satu kenyataan.

Menurut Biro Perangkaan Pusat Palestin, sumbangan Gaza kepada keseluruhan ekonomi Palestin termasuk Tebing Barat menyusut daripada sekitar 36 peratus pada 2005 kepada hanya 17 peratus tahun lepas.

Konflik yang berterusan turut mendorong kadar pengangguran Gaza sehingga mencapai sekitar 85 peratus, manakala keputusan Israel untuk menutup pintu kepada pekerja Palestin dari Tebing Barat menyebabkan hampir 200,000 orang hilang pekerjaan.

Di sebalik sumbangan kecil Gaza kepada angka ekonomi, Bank Dunia kini menjangkakan keseluruhan ekonomi Palestin akan menguncup sebanyak 3.7 peratus tahun ini, turun mendadak daripada ramalan peningkatan sebanyak 3.2 peratus sebelum perang tercetus.

Bank Dunia sebelum ini menjangkakan pertumbuhan 3.0 peratus pada 2024, namun kini menjangkakan penguncupan keseluruhan sebanyak 6.0 peratus dengan andaian konflik mungkin berkurangan tahun depan.

“Tahun depan keadaan dijangka lebih teruk. Jika perang berlarutan, kesan ekonomi boleh merosot dan bertambah buruk lagi.

“Sejak bermulanya perang, harga barangan di Gaza melonjak sebanyak 12 peratus, mencerminkan peningkatan besar permintaan untuk produk yang semakin sukar ditemui di pasaran tempatan.

“Sebaliknya, inflasi pengguna di Tebing Barat pula meningkat hanya 0.1 peratus dalam tempoh yang sama,” jelas badan itu.

Sebagai tindak balas kepada konflik tersebut, Bank Dunia mendedahkan sokongan kewangan untuk menyediakan bantuan kecemasan untuk penduduk Gaza yang terjejas.

Pemberi pinjaman pembangunan mengumumkan tambahan AS$20 juta (RM94.12 juta) dana untuk rawatan perubatan, keperluan kemanusiaan serta pembiayaan untuk baucar makanan dan bungkusan di wilayah Palestin yang terkepung itu.

“Jumlah tersebut merupakan tambahan daripada AS$15 juta (RM70.59 juta) yang sudah diserahkan,” tambahnya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya