Perang di Gaza demi realisasi rancangan jahat Zionis

Perang di Gaza demi realisasi rancangan jahat Zionis

KANAK-KANAK Palestin duduk di atas tilam yang ditutup dengan plastik di kem pelarian Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Peperangan di Gaza menyemarakkan lagi spekulasi kewujudan rancangan rejim Zionis menubuhkan Israel Raya di rantau itu dengan rakyat Palestin diatur untuk dihantar ke Jordan.

Perkara itu selaras dengan rancangan Israel untuk menghapuskan penduduk Palestin dari Gaza dan cuba menghantar mereka ke beberapa negara jiran.

CUBAAN USIR KE JORDAN

Selain Mesir, Jordan dianggap sebagai lokasi baharu bagi penduduk Gaza yang diusir supaya Israel dapat mengawal sepenuhnya wilayah tersebut dengan membentuk zon penampan di sekelilingnya.

Rakyat Palestin di Gaza yang diusir tidak akan dibenarkan pulang ke rumah mereka dan hasrat Israel untuk menguasai sepenuhnya wilayah itu semakin jelas.

Ahli Knesset Parlimen Palestin-Israel, Ahmad Tibi memberi amaran bahawa keluarga Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu cuba menggesa pemindahan rakyat Palestin ke Jordan.

Tibi menyiarkan gambar di laman X yang pernah dimuat naik oleh anak Netanyahu, Yair Netanyahu yang menunjukkan peta Jordan.

Catatan Yair itu disertakan dengan perkataan ‘Jordan ialah Palestin dan Palestin ialah Jordan’.

Muat naik itu menyebut tentang rancangan besar mengenai pembentukan Israel Raya.

“Banyak pihak semasa pendudukan melaungkan slogan serupa, menyeru agar rakyat Palestin dipindahkan dan dibawa keluar melalui pembersihan etnik ke Jordan.

“Beberapa pihak Israel bahkan pergi lebih jauh dengan menyeru agar Israel turut menguasai seluruh Jordan bagi mewujudkan ‘Israel Raya’,” jelas ulasan itu.

SENARIO TERBURUK

Kerajaan Jordan sebelum ini sudah mengesan tanda-tanda yang sangat jelas tentang hasrat Israel untuk menempatkan semula penduduk Palestin di Gaza semasa pencerobohan tentera mereka terhadap wilayah itu.

Disebabkan itu, Amman memberi amaran kepada Tel Aviv bahawa pemindahan paksa rakyat Palestin di Gaza bakal mencetus senario terburuk dan dianggap sebagai pengisytiharan perang.

Bagi Mesir dan Jordan, pengusiran rakyat Palestin di Gaza melalui pengeboman berterusan akan memaksa pelarian mencari lokasi selamat, termasuk melintasi sempadan negara yang dianggap mengganggu kedaulatan.

Justeru dengan tegas, Raja Jordan, Raja Abdullah II menolak sebarang percubaan Israel untuk memindahkan penduduk Gaza dari wilayah mereka.

Raja Abdullah II menegaskan, dunia mesti mengecam sebarang percubaan Israel untuk mewujudkan keadaan yang akan memaksa rakyat Palestin mencari perlindungan di Semenanjung Gaza atau di luar sempadannya yang dilanda perang.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan media kerajaan selepas pertemuan dengan Presiden Cyprus, Nikos Christodoulides di Amman, Raja Abdullah II sekali lagi menyeru gencatan senjata segera dan mengingatkan pengeboman Israel hanya akan menyebabkan kemunduran dan akibat yang berbahaya kepada rantau Asia Barat.

Rundingan Raja Abdullah II dengan Christodoulides memberi tumpuan kepada keperluan untuk meningkatkan usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang tinggal di Gaza.

Raja Abdullah II melobi pemimpin Barat untuk memberi tekanan kepada Israel supaya membenarkan aliran bantuan tanpa gangguan dan membuka lintasan yang dikawal sebelum ini bagi memastikan jumlah yang dihantar mencukupi.

Beliau turut bimbang keganasan meluas di Tebing Barat yang bersempadan dengan Jordan, melibat serangan peneroka haram terhadap orang awam Palestin yang cuba merampas tanah mereka.

Tindakan Israel ini akan mewujudkan keadaan yang boleh menggalakkan dan memaksa puluhan ribu rakyat Palestin menyeberangi Sungai Jordan.

Selasa lalu, Amman mengecam tindakan Israel membina penempatan haram baharu di Baitulmuqaddis Timur

“Perluasan Israel terhadap pembinaan penempatan Yahudi di atas tanah yang didudukinya dan rampasan di wilayah-wilayah ini adalah pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa dan jelas menggugat prospek keamanan,” kata jurucakap Kementerian Luar Jordan, Sufain Qudah.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya