WASHINGTON: Sebuah kapal tangki membawa bahan kimia diserang di Lautan Hindi oleh sebuah dron yang dipercayai dilancarkan dari Iran.
Menurut Pentagon, serangan berlaku berhampiran pantai India, sekitar pukul 10.00 pagi (waktu tempatan) sekali gus dianggap sebagai petanda bahawa risiko kian meningkat terhadap perkapalan komersial yang melalui Laut Merah.
Kapal MV Chem Pluto milik Jepun itu dilaporkan belayar di bawah bendera Liberia dan dikendalikan sebuah syarikat Belanda.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan Tentera Amerika Syarikat (AS) mengesakan kapal tersebut terus menuju ke destinasi di India selepas kebakaran berjaya dipadamkan.
Tentera Laut India memaklumkan sudah menjawab permintaan untuk menyediakan bantuan kepada kapal tersebut.
“Sebuah pesawat dihantar untuk memastikan keselamatan kapal terbabit serta anak kapalnya.
“Sebuah kapal perang Tentera Laut India juga dihantar untuk memberikan bantuan yang diperlukan,” kata seorang pegawai tentera laut.
Insiden itu berlaku di tengah-tengah peningkatan serangan dron dan peluru berpandu yang dilancarkan oleh kumpulan pemberontak Houthi di laluan perkapalan Laut Merah yang penting sejak tercetusnya perang Israel-Hamas pada 7 Oktober lalu.
Kumpulan tersebut sebelum ini mendakwa akan bertindak balas bagi mempamer solidariti mereka kepada penduduk Gaza.
Pentagon pertama kali secara terbuka menuduh Iran menyasarkan kapal-kapal itu secara langsung sejak perang Israel bermula terhadap kumpulan Hamas.
Firma keselamatan maritim Ambrey berkata, kapal tangki produk kimia itu bersekutu dengan Israel dan dalam perjalanan dari Arab Saudi ke India.
Wall Street Journal melaporkan, syarikat Belanda yang mengendalikan MV Chem Pluto mempunyai kaitan dengan hartawan perkapalan Israel, Idan Ofer.-AFP