TEL AVIV: Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di Israel terpaksa memberi cuti tanpa gaji kepada sekurang-kurangnya 600 pekerjanya selepas semakin banyak penerbangan antarabangsa tidak mendarat di sana.
Pengurangan ketibaan penerbangan antarabangsa di Israel itu diakibatkan kebimbangan susulan perang yang meletus antara tentera Zionis dengan kumpulan pejuang Hamas.
Keputusan untuk tersebut dibuat selepas pihak berkuasa lapangan terbang mengadakan rundingan dengan jawatankuasa pekerja.
Hampir semua penerbangan antarabangsa tidak mendarat di lapangan terbang itu selepas perang tercetus pada 7 Oktober lalu.
Lapor agensi berita Israel, Ynet News, kesemua 600 pekerja tersebut akan diberikan cuti tanpa gaji, manakala pekerjaan 1,000 lagi pekerjanya akan dikurangkan sehingga 75 peratus.
Jumlah pekerja di Lapangan Terbang Ben Gurion ketika ini dianggarkan seramai 4,600 orang dan pengurangan kerja itu bakal menjadikan jumlah berkenaan berkurangan sehingga 3,000 orang pekerja.
Permintaan berkunjung atau melancong ke Israel merudum teruk sejak Zionis melancarkan perang ke Gaza pada awal Oktober lalu.
Kebanyakan syarikat penerbangan antarabangsa menggantung perkhidmatan mereka ke Israel dengan tujuan keselamatan.
HARAPAN VS KENYATAAN
Dalam pada itu, pihak berkuasa Ben Gurion berharap aktiviti di lapangan terbang itu akan kembali seperti biasa tidak lama lagi.
“Kami berharap skop aktiviti di lapangan terbang ini akan pulih semula dan ramai pekerja boleh berkhidmat seperti biasa.
“Kami juga berharap perang yang berlaku tidak akan menjejaskan fungsi lapangan terbang ini, namun adakah harapan kami boleh jadi kenyataan?,” lapor Ynet News memetik pihak berkuasa lapangan terbang berkenaan.
Selain itu, industri penerbangan Israel memaklumkan keputusan untuk memberikan cuti tanpa gaji kepada pekerja yang dipilih itu hanya dibuat beberapa hari lalu.
SUASANA LENGANG
Keadaan di lapangan terbang itu ketika ini lengang tanpa pengunjung dengan landasan juga tiada kelibat pesawat antarabangsa.
Pihak berkuasa Ben Gurion juga menjangkakan situasi itu tidak akan berubah sehingga Januari depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pekerja Ben Gurion, Pinchas Idan berkata, mereka sedih dengan keadaan yang berlaku dan berharap perang berakhir segera.
NETANYAHU TERUS DIBENCI
Perkara yang berlaku di Ben Gurion menjadi antara penyebab untuk penduduk Israel terus membenci Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan mendesaknya meletakkan jawatan segera.
Kemarahan penduduk Israel terhadap Netanyahu terus memuncak apabila pemimpin itu dilihat tidak mengendahkan nasib tebusan yang ditahan Hamas, sebaliknya ‘galak meneruskan perang di Gaza’.
Kesilapan tentera Zionis yang menembak mati tiga tebusan ketika bertempur dengan Hamas baru-baru ini juga mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk Israel.
PERANG PSIKOLOGI
Sementara itu, tentera Zionis didakwa melakukan perang psikologi bagi melemahkan semangat penduduk Gaza apabila mereka dengan muka tidak malu ‘merompak’ secara terang-terangan di kedai dan kediaman yang mereka bom.
Seorang tentera Zionis mengakui dia merancang membawa pulang rantai tangan perak dari Gaza untuk dihadiahkan kepada kekasihnya, manakala rakannya mencuri permaidani dari sebuah rumah penduduk Palestin.
Ada juga dalam kalangan mereka merakam video menunjukkan mereka mengambil apa sahaja barangan yang masih boleh digunakan untuk dibawa pulang ke Israel sebagai ‘cenderahati’.
Lebih memualkan, ada tentera Israel yang sanggup membuang air besar di dapur kediaman penduduk Palestin dan menconteng grafiti dengan kata-kata kesat.
Tanggapan banyak pihak kononnya tentera Israel berdisiplin adalah rekaan semata-mata.