KAHERAH: Ketika Gaza dihujani serangan bom bertubi-tubi dari Israel, penduduk Palestin dilihat terkandas di kawasan sempadan dengan Semenanjung Sinai, Mesir di bandar Rafah.
Malah, penduduk Palestin memaklumkan mereka tidak mempunyai tempat lagi untuk menyelamatkan diri.
Beratus-ratus ribu rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal atau terpaksa berpindah dari kediaman akibat serangan Israel.
Ketika pengeboman terus meningkat di merata tempat dan semakin menghampiri mereka, ramai penduduk takut satu-satunya pilihan untuk memastikan terus hidup adalah melarikan diri ke Sinai.
Bagaimanapun, penduduk Palestin berharap agar ia tidak berlaku.
Menurut penduduk Palestin, sekiranya perkara itu berlaku maka mereka mungkin tidak akan kembali semula.
“Tiada lagi tempat yang selamat, kami menjangkakan serangan darat Israel mungkin meluas ke kawasan ini.
“Ke mana lagi kami harus pergi selepas Rafah?,” kata penduduk bernama Ummu Osama, 55, dari utara Gaza yang berlindung di Rafah.
Ummu Osama dan ramai lagi penduduk Gaza yang terkandas menolak idea untuk melarikan diri merentasi sempadan sekiranya perlu dilakukan.
“Kami enggan berpindah ke Sinai, kami hanya mahu pulang ke rumah walaupun ia sudah musnah,” katanya.
Penduduk bernama Umm Imad, 73, yang juga berlindung di Rafah menyatakan hasratnya untuk pulang ke rumahnya.
“Jika mereka membenarkan saya memilih antara hidup di tengah-tengah pengeboman berterusan atau meninggalkan tanah air, saya akan kekal berada di sini.
“Saya akan kembali ke Gaza walaupun kereta kebal ada di sana. Saya sanggup menanggung apa sahaja,” katanya. – REUTERS