Penduduk di Tebing Barat umpama 'tunggu ajal menjemput'

Penduduk di Tebing Barat umpama ‘tunggu ajal menjemput’

PENDUDUK Palestin membawa mayat mangsa yang terbunuh semasa pertempuran dengan tentera Israel di kem Qalandia, di Ramallah.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ketika penduduk Gaza terkorban dibedil Israel, rakyat Palestin di Tebing Barat pula umpama ‘menunggu ajal’ apabila mereka turut diserang kejam oleh penduduk haram yahudi yang dilaporkan semakin agresif sejak bulan lalu.

Seorang penduduk, Abdulatheem Wadi mengakui tidak dapat menyembunyikan kesakitan yang dialami seluruh keluarganya.

DISERANG PENEROKA HARAM

Lelaki berusia 50 tahun itu tidak dapat menahan air mata apabila mengenang kembali bagaimana peneroka Israel membunuh kejam abangnya, Ibrahim 63, dan anak saudaranya Ahmad, 24, pada 12 Oktober lalu.

Ketika itu mereka menghadiri majlis memperingati sekumpulan rakyat Palestin yang turut dibunuh oleh peneroka haram pada malam sebelumnya.

“Amat menyakitkan melihat pengebumian untuk empat mangsa awalnya tiba-tiba bertambah menjadi enam.

“Ia adalah pembunuhan beramai-ramai di sebuah kampung kecil,” kata Abdulatheem.

Kampung itu bernama Qusra, tempat tinggal kepada kira-kira 7,000 penduduk Palestin di selatan Nablus di Tebing Barat yang diduduki di utara.

Jelas Abdulatheem, walaupun perarakan pengebumian dan laluan yang dirancang sudah diluluskan oleh tentera Israel melalui pihak Pihak Berkuasa Palestin (PA) Pejabat Koordinasi Daerah (DCO), mereka masih diserang.

Dia berdiri kira-kira 20 meter dari ahli keluarganya itu apabila mereka ditembak mati.

“Kami terkejut apabila mendapati peneroka menyerang hendap. Kereta saya adalah kereta pertama dalam perarakan dan saya berada di hadapan empat ambulans yang membawa empat mangsa syahid.

“Peneroka bersenjata kemudian melompat ke jalan utama, meletakkan tayar yang terbakar dan menghalang laluan kami. Kami tidak boleh pergi ke hadapan atau ke belakang dan keadaan bertukar huru-hara.

“Kemudian, terdapat tembakan dan batu dibaling ke arah kami. Tentera Israel turut berdiri bersama peneroka dan menembak kami. Dalam beberapa minit, sebuah lagi kereta peneroka datang dan melepaskan tembakan ke arah anak saudara dan abang saya ketika mereka keluar,” katanya.

TENTERA ISRAEL JADI DALANG

Serangan peneroka menjadi realiti harian di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur sejak 1967 apabila Israel menduduki kawasan tersebut yang dihuni kira-kira tiga juta penduduk Palestin.

Sekurang-kurangnya 700,000 penduduk Israel tinggal di penempatan haram, berkubu dengan hanya bangsa Yahudi di seluruh Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Penempatan itu majoritinya dibina sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya di atas tanah persendirian Palestin.

Serangan tidak berperikemanusian berterusan turut dilakukan oleh kumpulan penceroboh itu termasuk melepaskan tembakan, tikaman, balingan batu pukulan teruk dengan paip dan batang kayu, selain membakar rumah, kenderaan serta tanah pertanian penduduk Palestin.

Peneroka haram Israel membunuh lebih 10 rakyat Palestin sejak tahun 2019 tetapi majoriti besar pelaku tidak berdepan sebarang dakwaan atas jenayah mereka.

Selepas 7 Oktober lalu, serangan peneroka meningkat secara mendadak di Tebing Barat yang diduduki

Seiring dengan serangan Israel ke atas Gaza, peneroka haram Yahudi membunuh sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin sejak 58 hari lalu.

Mereka menyerbu kampung Palestin setiap hari, menyerang penduduk dan harta benda mereka serta sengaja mencederakan berpuluh-puluh orang yang tidak berdosa.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dalam hampir separuh daripada semua insiden tersebut, tentera Israel sama ada mengiringi atau secara aktif menyokong penyerang.

Kampung di selatan Nablus secara konsisten menjadi lokasi yang paling teruk terjejas oleh serangan peneroka di Tebing Barat yang diduduki setiap tahun, diikuti oleh Hebron dan Ramallah.

Bandar-bandar yang sama mempunyai bilangan pos haram Israel tertinggi yang berkait rapat dengan peningkatan tahap keganasan di kawasan berkenaan.

Pembinaan beratus-ratus pusat pemeriksaan dan pangkalan tentera Israel menyebabkan lebih 165 kawasan di Palestin menjadi wilayah terkepung dengan sekatan pembangunan dan pergerakan yang teruk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya