'Penat kami tidak setanding dengan apa yang dilalui penduduk di Gaza'

‘Penat kami tidak setanding dengan apa yang dilalui penduduk di Gaza’

PEMANDU trak bantuan perlu menunggu berminggu-minggu sebelum dibenarkan masuk ke Gaza. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Beratus-ratus trak yang membawa bantuan beratur dalam barisan panjang di sebelah Mesir di sempadan Rafah dengan pemandu dan sukarelawan perlu menunggu lebih seminggu selain melalui pelbagai pemeriksaan sebelum dibenarkan memasuki Gaza.

BARISAN PANJANG

Pintu sempadan pula hanya dibuka sekali-sekala untuk membenarkan trak kosong pulang dari Semenanjung Gaza.

Pemandu, Ahmed Naim Ibrahim berada di barisan pertama sejak Khamis lalu namun tiada trak bantuan yang dibenarkan masuk kerana kesesakan di seberang sempadan.

Katanya, selepas memasuki persimpangan Rafah, trak terlebih dahulu perlu memandu sejauh 40 kilometer (km) ke selatan di sepanjang sempadan menuju persimpangan Al-Owga antara Mesir dan Israel.

“Di sana, orang Israel memeriksa trak, selepas itu baharulah kami boleh kembali ke Rafah. Hanya selepas itu trak boleh memunggah bantuan yang sedang dihantar kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin, (UNRWA).

“Dari saat sebuah trak bergerak ke sempadan Rafah, ia mengambil masa dua atau tiga hari lagi untuk bantuan diagihkan di Semenanjung Gaza.

“Ini kerana terdapat barisan menunggu sepanjang 20 km lagi sebelum pemeriksaan Israel,” katanya kepada Al Jazeera.

Seorang lagi pemandu, Saleh Ebada mengadu turut berdepan situasi serupa.

“Pemeriksaan mengambil masa, inilah yang menyebabkan kelewatan. Trak yang dipandu kami membawa ubat-ubatan, makanan, air, selimut dan kain kafan untuk menyelimuti para syahid,” katanya.

PEMERIKSAAN ISRAEL

Sementara itu, sukarelawan untuk pertubuhan amal Mesir Resala, Hazem Mohamed juga tetap gigih memastikan keperluan yang dibawa sampai kepada penduduk walaupun mengakui berdepan pelbagai kesukaran dengan 21 trak masih menunggu dalam barisan di sempadan.

“Setiap hari kami sepatutnya masuk, tetapi setiap kali hampir ke giliran, mereka menangguhkan ke hari berikutnya.

“Namun menjadi tanggungjawab kami untuk membantu dan kesukaran menunggu selama lapan hari tidak boleh dibandingkan dengan apa yang dilalui di Gaza,” katanya.

Ahmed Naim dan pemandu lain berharap mereka dapat menyeberang pada hari Jumaat, tetapi apabila gencatan senjata berakhir, tiada trak dibenarkan masuk.

Semasa gencatan senjata, bilangan trak yang memasuki sempadan Rafah meningkat daripada beberapa puluh kepada kira-kira 200 setiap hari tetapi kebanyakannya masih terperangkap di kawasan pemeriksaan Israel.

Menurut Ahmad Naim, trak akan dipaksa pulang ke Mesir jika pemeriksa Israel menemui barang terlarang seperti pisau, dapur kecil, gunting dan tong gas walaupun jelas barangan tersebut merupakan antara keperluan asas yang diperlukan untuk perubatan dan kegunaan seharian.

BAYI YATIM

Selain bantuan, lintasan sempadan Rafah menjadi laluan kepada lebih 9,000 orang untuk meninggalkan Gaza.

Antara rakyat Palestin yang dibenarkan meninggalkan Gaza ialah 28 bayi pramatang yang berada di Hospital al-Shifa di Gaza City.

Daripada 28 bayi itu, 16 sudah dibawa ke Hospital Besar El Arish 45 km dari Rafah, manakala 12 lagi dipindahkan ke Kaherah.

Tetapi doktor di hospital El Arish yang enggan dikenali memaklumkan, seorang daripada 16 bayi di kemudahan itu sudah meninggal dunia.

Bayi lain dilaporkan sihat tetapi masa depan mereka masih tidak menentu kerana berada di Mesir tanpa keluarga.

“Kebanyakan bayi ini tidak mempunyai ahli keluarga yang masih hidup dan tidak jelas siapa, dan di mana saudara mara mereka tinggal.

“Sehingga kami menemui waris mereka, bayi-bayi ini akan terus tinggal di hospital,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya